
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan terhadap pindaan Akta Profesion Undang-undang 1976 (Akta 166) membabitkan peruntukan baru berkaitan peranan dan fungsi Majlis Peguam.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, usaha itu mengakibatkan badan tersebut perlu mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara untuk melaksanakan sebarang keputusannya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pindaan tersebut dilakukan bagi membolehkan kerajaan sebagai eksekutif terlibat secara langsung dalam badan kehakiman atau judisiary.
“Dengan pindaan ini maknanya tanpa kelulusan Peguam Negara, ianya tidak boleh diadakan. Jadi adakah ini menunjukkan kerajaan sekarang berhasrat untuk campurtangan dalam Majlis Peguam ini.
“Nanti siapa nak jadi presiden Majlis Peguam ini ditentukan oleh pihak-pihak tertentu, tetapi kita harap ianya tidak berlaku begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Profesion Undang-undang (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Setiausaha Agung PAS itu turut menyambut langkah kerajaan hari ini yang meneruskan agenda kerajaan lalu, Perikatan Nasional (PN) mahu menambah baik dengan meminda akta tersebut.
Bagaimanapun beliau berkata, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang merencatkan semua perancangan kerajaan selain membunuh jutaan manusia di seluruh dunia.
Tambahnya, pelbagai pihak tampil membuat gesaan kepada kerajaan termasuk Majlis Peguam untuk meminda perkara disebut dalam RUU tersebut.
“Terdapat beberapa perkara yang amat signifikan terhadap pindaan kepada akta ini, yang mana disebut oleh ahli lain tadi perkara ini telah lama diadakan diwujudkan dan semasa kerajaan terdahulu.
“Pada masa itu sudah ada satu gesaan untuk kita meminda perkara-perkara yang disebutkan dalam RUU ini, tetapi pada masa itu ada pandemik Covid-19 dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2024











