
GUA MUSANG: Seramai lebih 100 penduduk di Jajahan Gua Musang menerima hak milik tanah masing-masing selepas permohonan mereka diluluskan kerajaan negeri baru-baru ini.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyerahkan hak milik itu pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah yang diadakan di sini.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan proses pengeluaran geran hak milik tanah dijalankan dengan cepat dan efisien, khususnya bagi kawasan dalam Felda.
“Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, saya telah menjelaskan bahawa geran hak milik tanah akan dikeluarkan dalam tempoh 21 hari selepas pembayaran premium dilunaskan oleh pemohon.
“Namun, saya difahamkan dengan kecekapan pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan serta Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, urusan ini berjaya diselesaikan dalam tempoh hanya 10 hari. Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam ucapannya itu juga di hadapan penerima, beliau turut mengingatkan bahawa tanah tersebut adalah amanah yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Gunakanlah tanah ini untuk kebaikan diri, keluarga, dan masyarakat sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas rezeki dan nikmat yang telah diberikan,” ujarnya.
Tambahnya, penyerahan hak milik itu juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan rakyat mendapat hak mereka dengan adil dan telus, sejajar dengan dasar pembangunan negeri.
Majlis penyampaian itu diadakan di Dewan Perdana Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, selepas beliau meninjau kejadian tanah runtuh di Kampung Jerek, dekat sini hari ini. – HARAKAHDAILY 9/12/2024












