Desa Sejahtera: Pemohon perlu patuhi syarat

Juga kriteria yang telah digariskan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Mana-mana individu yang ingin memohon tanah lot Desa Sejahtera disediakan Kerajaan Negeri, perlulah menepati syarat dan kriteria ditetapkan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Selain menurutnya, memberi keutamaan kepada anak kelahiran Kedah sama ada ibu atau ayah, mahupun pemohon sendiri, individu yang bermastautin lebih daripada 10 tahun di negeri ini juga dibenarkan.

“Selain itu suami atau isteri pemohon juga mestilah warganegara Malaysia,” katanya menjawab soalan Ustaz Sharir Long (PN- pPantai Merdeka) yang bertanyakan kriteria pemohon pada Sidang DUN, hari ini.

Tambah Sanusi lagi, antara syarat lain, pemohon dari kalangan miskin dan miskin tegar, minimum tanggungan tiga orang, dengan
pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,589.

Sementara bagi golongan B40 ujarnya, minimum tanggungan tiga orang dan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM4,764.

“Permohonan juga hendaklah disahkan di dalam Mesyuarat Focus Group Daerah (FGD). Pemohon dan anggota isi rumah hendaklah tidak memiliki atau mewarisi mana-mana hartanah lain seperti tanah atau lain-lain,” jelasnya lagi.

Selain tidak muflis, pemohon juga tegas beliau, perlu menandatangani Akujanji Kerajaan Negeri untuk bersetuju menerima pemilikan tanah bagi tujuan pembinaan rumah sahaja.

Selain bersetuju membayar nilai premium tanah sebanyak RM1,000 serta lain-lain kos yang terlibat.

“Dalam pada itu pemohon juga dikehendaki untuk bermastautin di kawasan dan daerah yang dipohon sahaja dan bersetuju mendirikan rumah dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kelulusan khususnya bagi permohonan B40.

“Mereka (pemohon) juga tidak boleh memindah milik tanah dan rumah melalui jualan atau pajakan kepada mana-mana pihak,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu tambahnya, pemohon tidak boleh menyewa rumah tersebut kepada pihak lain serta konsisten membayar balik pinjaman seperti mana yang dipersetujui di dalam perjanjian pinjaman sewa beli.

Seperkara lagi, semua pemohon dan anggota isi rumah perlu melalui ujian saringan jenayah dan dadah daripada Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sementara itu sebanyak 1,281 lot tanah diperuntukkan bagi menjayakan kampung Desa Sejahtera melibatkan beberapa daerah antaranya Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Langkawi, Baling, dan Sik.

Selain Daerah Yan, Pendang, Bandar Baharu, Pokok Sena, termasuk Daerah Padang Terap yang dilancarkan perasmiannya pada 20 November lalu. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -