Premis perniagaan disaran pasang Jalur Gemilang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua premis perniagaan seluruh Kedah, disarankan memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing bagi menyemarakkan lagi Sambutan Kemerdekaan Malaysia kali ke-67.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria, berkata, tindakan itu bukan sahaja menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan tetapi sebagai tanda kasih kepada negara.

“Saya mengharapkan semua pemilik premis perniagaan seluruh Kedah tanpa mengira kaum, agama serta idealogi politik, dapat bersama-sama memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu juga kata Mansor yang juga ADUN Kuala Ketil, erti kemerdekaan itu juga perlu dihayati agar semangat cinta dan kasihkan negara terus berkobar disanubari.

“Dengan kemerdekaan negara, rakyat dapat hidup dengan penuh harmoni, aman dan bertoleransi dari dahulu sehingga kini. Oleh itu marilah kita terus pertahankan kemerdekaan negara yang kita sayangi ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu, dalam perkembangan lain, Jalur Gemilang telah diagihkan ke 36 DUN seluruh Kedah, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Dewan Tuan Guru Othman Al-Yunusi, Yan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat yang juga ADUN Sungai Limau.

Bendera yang diagihkan itu dipasang di tempat-tempat strategi untuk menyemarakkan lagi sempena sambutan kemerdekaan tahun ini.- HARAKAHDAILY 22/8/2024

- Advertisement -