
KUALA TERENGGANU: Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berbaki tiga hari lagi dan pastinya merupakan tempoh yang agak penting dan ‘kritikal’ untuk para atlet Terengganu mengejar pingat emas seperti yang disasarkan sebanyak 75 pingat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berpandangan, strategi yang terbaik untuk dilakukan oleh atlet sekarang adalah untuk memberikan persembahan terbaik tanpa terlalu ‘menekan’ diri untuk fikir menang.
Katanya, Rasmus Hougaard yang merupakan salah satu daripada lapan pemikir kepimpinan terpenting di dunia ada menyatakan ‘keupayaan untuk menerapkan fokus yang jelas pada tugas yang betul adalah kunci kepada hasil yang luar biasa’.
“Fokus di sini merujuk bagaimana setiap atlet perlu mempunyai ‘mindset’ yang positif dan tidak terlalu memikirkan kemenangan sehingga akan membawa kepada kekecewaan,” ujarnya dalam catatan di Facebook beliau, hari ini.
Katanya, ‘mindset’ itu amat mempengaruhi prestasi atlet di gelanggang kerana ianya membawa kepada perasaan takut kalah atau teruja untuk menang.
“Insya-Allah, dalam tempoh berbaki tiga hari ini, ‘keajaiban’ boleh berlaku dalam dunia sukan ini.
Apa yang penting ialah teruskan lakukan yang terbaik.
“Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dalam tempoh berbaki tiga hari ini, bermacam-macam kemungkinan dan ‘keajaiban’ boleh berlaku,” ujarnya.
Beliau selaku bapa angkat bagi bagi atlet sukan olahraga percaya, para atlet dan pengurusan pasukan Terengganu telah meletakkan usaha yang begitu baik sebagai persiapan sebelum menyertai SUKMA ini.
“Ketidaktahuan ini juga seharusnya menjadikan kita termotivasi untuk menyerahkan semuanya kepada Allah SWT,” tambahnya.
Ini, katanya kerana penting sebagai seorang Muslim untuk menghayati hikmah di sebalik ketentuan Allah SWT walaupun kadang kala tidak sebagaimana yang diinginkan.
“Selamat maju jaya buat semua. Kita usaha sehingga ke garisan penamat!” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/8/2024











