
KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, merakamkan ucapan takziah atas pemergian ulama besar Terengganu, Dato’ Ambak @ Abdul Aziz Ismail, pagi tadi.
Dalam perkongsiannya di laman Facebook, Zulkifli menggambarkan almarhum sebagai seorang ilmuwan yang telah banyak berjasa dalam bidang pendidikan dan fatwa, khususnya di Negeri Terengganu.
Beliau menzahirkan rasa kehilangan yang amat mendalam sekali gus menyifatkan pemergian almarhum sebagai satu kehilangan besar kepada umat Islam.
“Saya mempunyai banyak pengalaman bersamanya, bermula dari alam persekolahan hingga menyertai Majlis Fatwa Terengganu bersama-sama sejak zaman almarhum Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Mohamad Zubir Haji Awang.
“Beliau dikenali dengan minat yang mendalam dalam pembacaan serta mampu menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris dengan baik. Beliau telah mencurahkan banyak ilmu dan pengalaman kepada anak bangsa dan masyarakat Terengganu khususnya. Suaranya pernah berkumandang di Radio Terengganu (RTM).
“Buah fikirannya sentiasa berlandaskan hujah dan asas yang kukuh. Saya suka berbincang dengannya kerana pemikirannya yang terkehadapan (advance) serta kesungguhannya dalam mendalami ilmu. Kerap kali kami menziarahi rumahnya untuk berkongsi pelbagai kisah,” katanya.
Untuk rekod, almarhum Ambak pernah menjadi guru besar atau mudir di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin serta menjawat jawatan sebagai Nazir Sekolah Agama Negeri Terengganu.
Almarhum Dato’ Ambak telah lama menyertai Majlis Fatwa Negeri Terengganu dan aktif dalam pengajaran, terutamanya dalam bidang fiqh.
Zulkifli turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga almarhum dan memohon agar mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
“Semoga Allah SWT merahmati almarhum dan menempatkannya bersama para ulama dan orang-orang yang soleh. Sesungguhnya, kematian ulama adalah musibah besar kepada umat.
“Kami berdoa kepada Allah, semoga diampunkan dosa kita semua termasuk almarhum dan mereka yang sebelum daripada kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2024











