Polis kesan video tular di parkir Aeon Klang

Cha Hoong Foong
- Advertisement -

KLANG: Tular sebuah video berdurasi 53 saat memaparkan seorang lelaki mengekori seorang perempuan di tempat letak kereta di pasaraya Aeon, Bukit Tinggi, di sini, yang dimuatnaik dalam aplikasi sosial media X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Cha Hoong Fong, telah mengesan kes video yang sedang tular itu pada jam 4.30 petang, semalam dan dipercayai suspek ingin melakukan rompakan terhadap perempuan tersebut.

- Advertisement -

“Hasil semakan mendapati pihak polis belum menerima apa-apa laporan berkaitan kejadian ini. 

“Siasatan di lokasi tempat kejadian dan melalui pengesahan daripada pengawal keselamatan yang bertugas di pasaraya itu mendapati lelaki tersebut adalah seorang pengemis warganegara asing. 

“Pada kebiasaannya lelaki tersebut akan meminta duit dari orang awam dengan cara baik dan tidak pernah menimbulkan apa-apa permasalahan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Hoong Fong berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengesan lelaki tersebut bagi tindakan pencegahan. 

“Selain daripada itu, pihak polis akan mengesan dan merakam percakapan individu yang merakam perbuatan lelaki tersebut dan individu yang memuatnaik video itu dalam sosial media,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan kepada orang awam supaya tidak menyebarkan video tersebut bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat. 

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2024

- Advertisement -