
KANGAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, kesedaran rakyat mengenai penerimaan Islam adalah matlamat utama dalam usaha dakwah, bukan semata-mata kejayaan atau kegagalan.
Menurut beliau, kekalahan dalam usaha dakwah sepatutnya membangkitkan kesedaran bahawa kerja Islam perlu diteruskan tanpa mengira masa dan tempat.
“Berjaya atau tidak berjaya, itu bukan kerja kita. Yang dipersoalkan ialah apa yang kita lakukan untuk mengembangkan Islam,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.
Tuan Guru mengingatkan bahawa walaupun ada kawasan yang dianggap sukar untuk dimenangi atau golongan menolak atau menentang, usaha dakwah harus diteruskan.
Beliau menekankan bahawa kerja-kerja Islam tidak terhad kepada kawasan atau masa tertentu, sebaliknya mesti dilaksanakan secara berterusan.
Ujarnya lagi, jangan menjadikan kawasan yang tidak berpotensi atau penolakan satu-satu golongan sebagai alasan untuk menghentikan usaha dakwah.
“Walaupun menghadapi kekalahan, usaha seperti kelas-kelas dakwah harus diteruskan.
“Kekalahan sepatutnya menguatkan kesedaran bahawa kerja-kerja Islam adalah tanggungjawab yang tidak terhad kepada kawasan atau waktu tertentu,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan kekalahan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini.
Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin menyeru agar usaha dakwah tidak hanya tertumpu pada memenangi kerusi politik, tetapi juga dalam membawa kesedaran kepada masyarakat agar menerima Islam sebagai dasar hidup. HARAKAHDAILY 22/8/2024











