Fitnah adalah fitnah walau dijenamakan dengan nama lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyebaran berita palsu secara sistematik dengan menggunakan nama media rasmi dilihat semakin rancak beroperasi sejak beberapa hari ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, dalam minggu ini sahaja, 3 pimpinan utama PAS; Timbalan Presiden, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud telah menjadi mangsa fitnah dan telah menafikan laporan berita yang kononnya dipetik daripada kenyataan mereka.

“Menggunakan alasan satira, parodi serta sarkastik bukanlah lesen untuk sesiapa mereka-reka cerita atas nama individu lain.

“Ditambah pula dengan banyaknya akaun palsu seperti Harakatdaily, FWBNews, Bermana dan AWATNI yang sengaja menggunakan nama seakan-akan media rasmi bagi mengelirukan masyarakat,” katanya.

Menurut Zurk, kekeliruan yang ditimbulkan bukan sahaja menjadi fitnah bagi individu yang dikaitkan tetapi pihak tidak bertanggungjawab tersebut juga dengan mudah bermain dengan isu-isu sensitif sehingga ada yang sanggup mempersendakan agama.

“Budaya persepsi dan kebencian telah menjadi amalan sehingga sukar untuk kita membezakan antara kebenaran serta kebatilan.

“Masyarakat diseru untuk lebih berhati-hati dalam menerima sesuatu maklumat. Jangan mudah terpedaya dengan sebarang berita yang dibaca.

“Amalkan konsep 3R iaitu Research (Penyelidikan), Responsibility (Bertanggungjawab) dan Report (Lapor) supaya budaya fitnah ini dapat kita kekang dari terus berleluasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2024

- Advertisement -