Colombia hentikan bekalan arang batu ke Israel

Gustavo Petro. (FOTO: Al Mayadeen)
- Advertisement -

BOGOTA: Presiden Colombia, Gustavo Petro menandatangani dekri untuk menghentikan bekalan arang batu ke Israel berhubung operasi yang dijalankan oleh tentera Zionis Israel di Semenanjung Gaza.

Perintah itu telah dikeluarkan menerusi dokumen yang telah diterbitkan di laman web rasmi kerajaan negara di Amerika Selatan itu, lapor Al Mayadeen.

Kandungan dokumen itu menyatakan bahawa ‘pengeksportan arang batu ke Israel adalah dilarang, dan larangan itu akan berkuat kuasa lima hari selepas dokumen itu diterbitkan’.

- Advertisement -

Dekri itu turut menyatakan bahawa sepanjang Januari hingga Ogos 2023, Colombia mengeksport AS$375 juta (RM1.6 bilion) barangan dan bahan mentah ke Israel, sebahagian besar daripadanya adalah arang batu. 

“Israel sangat bergantung kepada arang batu untuk pengeluaran tenaga dan tambahan pula menggunakan bahan mentah ini untuk tujuan ketenteraan,” ujar kandungan dokumen itu.

Sementara itu, Petro menerusi laman X miliknya menulis, “Dengan arang batu Colombia, mereka membuat bom untuk membunuh anak-anak Palestin.”

Bahan api dan produk industri ekstraktif, termasuk arang batu, merupakan eksport utama Colombia, dan antara Januari dan Jun ia telah menelan belanja negara itu sebanyak AS$11.6 juta (RM50.9 juta), dengan Amerika Syarikat menjadi destinasi utama.

Colombia sebelum ini telah memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Israel yang berkuat kuasa pada 2 Mei kerana penentangannya terhadap tindakan negara itu dalam perang di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, serta telah mengharamkan pembelian senjata dari negara berkenaan. – Agensi/– HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -