
KUALA LUMPUR: “Penyokong Palestin kini sedang bersedih dengan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran semalam.”
Itu kenyataan penganalisis politik, Nurul Islam Mohamed Yusoff mengenai tragedi menimpa Haniyeh dikaitkan angkara Zionis Israel yang telah menggemparkan satu dunia.
Menurut beliau, sehubungan itu kerajaan Malaysia dilaporkan telah mengumumkan untuk mengadakan satu himpunan yang dirancang pada hari Ahad (4 Ogos) ini sebagai solidariti kepada Palestin dan kecaman terhadap pembunuhan didalangi Zionis laknatullah.
Bagaimanapun, Nurul Islam mempersoalkan kenapa pula dalam masa yang sama kerajaan meneruskan hasrat untuk menjual saham MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) kepada GIP (Global Infrastructure Partner) yang dikuasai syarikat pro-Israel, BlackRock Inc. (BlackRock).
“Umum tahu siapa BlackRock dan apa peranan mereka dalam konflik di Semenanjung Gaza,” katanya dalam kenyataan media sosial miliknya. hari ini.
Terbaharu menurutnya, kerajaan juga dilaporkan latihan ketenteraan maritim antarabangsa Rim of the Pacific (Rimpac) 2024 yang turut disertai tentera Israel.
“Sedangkan Mahkamah antarabangsa dah keluarkan waran tangkap ke atas (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu dan mengiktiraf serangan Israel di Gaza adalah genosid.
“Wahai Perdana Menteri, masih sempat untuk arahkan Khazanah (Berhad) hentikan cadangan jualan saham MAHB dan memanggil semula KD Lekiu yang dalam perjalanan ke Hawaii (bagi sertai Rimpac),” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024




















