UEFA siasat pemain Turkiye angkara ‘tabik hormat serigala’

Jude Bellingham (kiri) dan Merih Demiral yang beraksi di gelanggang Euro 2024 kini akan disiasat oleh UEFA. (FOTO: Guardian/AP News)
- Advertisement -

LEIPZIG: Merih Demiral yang muncul wira tanpa disangka buat pasukan Turkiye dengan menjaringkan dua gol mengalahkan Austria 2-1 pada petang hari ini (3 Julai), sekali gus menempah tiket mereka ke suku akhir Euro 2024 dikejutkan dengan berita, beliau akan disiasat Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Pertahanan tengah Al-Ahli dalam Liga Pro Saudi itu merembat masuk gol pertama selepas hanya 58 saat permainan dimulakan dan menghasilkan tandukan kencang sejam selepas itu untuk menggandakan lagi kelebihan Turkiye.

Turkiye bakal mara untuk berdepan Belanda pada suku akhir di Berlin awal pagi Ahad, namun Demiral, 26, kini akan disiasat oleh UEFA selepas tampil membuat tabik ultra nasionalis itu ketika meraikan kemenangan negaranya menentang Austria.

- Advertisement -

Demiral telah meraikan gol keduanya dengan ‘tabik hormat serigala’ (‘wolf salute’), isyarat yang dikaitkan dengan kumpulan pelampau sayap kanan Grey Wolves yang ada kaitan pula dengan parti gabungan pemerintah Turkiye, Parti Gerakan Nasional, lapor BBC Sport.

Namun beliau berkata, tabik hormat itu, yang dilarang di Austria dan Perancis, telah dirancang terlebih dahulu sekiranya berjaya menjaringkan gol.

“Saya mempunyai impian meraikan (gol kemenangan) dalam fikiran, yang saya lakukan,” kata Demiral.

“Saya sangat berbangga kerana saya seorang warga Turkiye, oleh itu selepas gol itu saya merasainya dengan perasaan dan jiwa yang mendalam dan saya mahu melakukannya, dan saya sangat gembira melakukannya.”

Demiral menyiarkan foto perayaan itu pada akaun X miliknya dengan kapsyen: “Alangkah gembiranya orang yang mengatakan saya seorang (warga) Turkiye!”

Siasatan UEFA telah dibuka mengikut Perkara 31(4) berhubung ‘dakwaan kelakuan tidak wajar’ yang telah dilakukan Demiral itu.

Jika didapati bersalah, Demiral boleh didenda atau menghadapi penggantungan ketika Turkiye bersiap sedia untuk menentang Belanda pada suku akhir Sabtu (6 Julai) ini.

Sementara itu terdahulu, pemain tengah England, Jude Bellingham juga sedang disiasat kerana gerakan isyarat yang dibuatnya ketika kemenangan menentang Slovakia dalam saingan Euro 2024, Ahad (30 Jun) lalu.

Bellingham, 21, dilihat membuat isyarat mengejek pemain Slovakia dengan gerakan seperti mencengkam kelangkangnya ke arah bangku simpanan pasukan lawan England itu selepas menjaringkan tendangan atas kepala pada masa kecederaan. – Agensi/– HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -