
KUALA TERENGGANU: Isu penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikaitkan dengan konglemerat pro-Palestin, BlackRock Inc. (BlackRock) tidak boleh disamakan dengan pembelian saham di pasaran terbuka.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sesiapa sahaja boleh membeli pegangan saham secara terbuka.
“Namun, isu saham MAHB ini adalah ia dijual secara terus kepada BlackRock melalui GIP,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden PAS.
Polemik bertambah parah apabila sesetengah pihak terutamanya sebilangan Ahli Parlimen dalam kerajaan pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini menegaskan, GIP belum lagi dimiliki BlackRock; namun merujuk kepada laporan berita pada Januari tahun ini, BlackRock dilaporkan sudahpun bersetuju untuk membeli seratus peratus kepentingan GIP dengan harga AS$12.5 billion (RM58.8 bilion).
Menurut Ahmad Samsuri lagi, dalam pasaran terbuka sesiapa sahaja boleh membeli dalam peratus yang tertentu tetapi apabila penjualan itu melibatkan tawaran yang khusus yang bukan di pasaran terbuka, ini adalah satu ‘cerita yang lain’.
“Jadi, saya rasa apa yang dibahaskan oleh pembahas di parlimen dan di luar berkisar kepada soalan kenapa perlu kita membenarkan sesuatu entiti antarabangsa yang menyumbang dengan pelbagai isu sekarang ini mendapat keistimewaan bagi memiliki 30 peratus saham.
“Kalau mereka membeli di perusahan terbuka itu adalah perkara biasa yang tidak ada satu peruntukan untuk kita menghalang mereka untuk membeli saham yang diniagakan di bursa saham,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ‘One-Off’ tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan sebelum ini, GIP yang dikaitkan dengan BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); menyaksikan kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 3/7/2024




















