
NAIROBI: Beberapa orang terbunuh dan ratusan yang lain cedera selepas ribuan penunjuk perasaan menyerbu bangunan parlimen Kenya bagi membantah rang undang-undang cukai yang telah menaikkan kemarahan rakyat di negara itu.
Insiden yang berlaku pada Selasa, waktu tempatan itu menyaksikan sebahagian bangunan berkenaan turut dibakar, dengan penggubal undang-undang dan ahli parlimen terpaksa melarikan diri ketika sedang mengadakan perbahasan mengenai undang-undang cukai itu sebelum ia diluluskan, lapor AFP.
Media tempatan Kenya melaporkan, pihak polis telah melepaskan tembakan selepas gas pemedih mata dan meriam air gagal menyuraikan orang ramai.
Polis bagaimanapun berjaya menghalau penunjuk perasaan dari bangunan parlimen dan penggubal undang-undang dan ahli parlimen telah dipindahkan melalui terowong bawah tanah.
Rang undang-undang baharu itu mencadangkan kenaikan cukai ke atas barangan seperti roti, minyak masak dan barangan kebersihan. Selepas bantahan awal minggu lalu, beberapa cadangan telah digugurkan, tetapi rang undang-undang yang dipinda telah diundi dan diluluskan pada pagi Selasa dan kini menunggu kelulusan Presiden Kenya, William Ruto.
Pihak kerajaan dalam pada itu berkata, rang undang-undang berkenaan akan membantu negara bagi mengumpul dana untuk membayar hutang asing yang kini berjumlah lebih AS$80 bilion (RM377 bilion) yang dipinjam terutamanya dari China, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
Sementara itu, ahli parlimen pembangkang, Opiyo Wandayi memberitahu speaker parlimen bahawa sekurang-kurangnya tujuh lelaki muda telah dipanggil oleh ejen keselamatan bersenjata beberapa jam sebelum protes bermula dan tidak diketahui nasibnya sehingga kini.
“Speaker mesti menasihati dewan tentang apa yang patut kita lakukan kerana mereka yang dipanggil dan diculik itu termasuk kakitangan saya sendiri,” katanya.
Kos sara hidup di Kenya telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan harga makanan dan bahan api turut meningkat, menyaksikan protes dan bantahan berkenaan turut berlaku di beberapa bandar dan pekan lain di seluruh Kenya, dengan orang ramai menggesa Ruto meletakkan jawatan serta menyuarakan bantahan mereka terhadap kenaikan cukai tersebut. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/6/2024




















