
ALOR SETAR: Misi wajib menang berjaya direalisasikan Kelantan Darul Naim FC II (KDN FC II) apabila berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, semalam.
KDN FC II menang dengan jaringan 2-0 pada perlawanan Liga Piala Malaysia (MFL) musim 2024-2025, menerusi jaringan dua gol hasil rembatan Asraff Aliffuddin Yasin pada setiap babak perlawanan.
Pada aksi itu, KDN FC II pada awalnya bermula agak lembab memberi ruang pasukan tuan rumah mendominasi pada 10 minit pertama.
Namun, permainan mula berubah setelah anak buah Khairan Eroza itu mula melampiaskan tekanan demi tekanan kepada pemain KDA FC B.
Bagaimanapun pada minit ke-18, ekoran pertahanan tuan rumah membuat kesilapan membolehkan Asraff Aliffuddin melakukan sentuhan ke dalam gawang untuk jaringan pertama.
Justeru, pada minit ke-53 Asraff Aliffuddin menambah jaringan apabila memanfaatkan percubaan awal Raja Kifayatullah untuk menggegarkan gawang KDA FC B.
Pada perlawanan itu juga, KDA FC B turut memiliki beberapa peluang terbaik, namun tidak mampu memecahkan benteng pertahanan KDN FC II.
Sementara itu Presiden KDN FC II, Rozi Muhamad merakam ucapan tahniah di atas kejayaan pasukan remaja di bawah usia 23 tahun berkenaan.
“Alhamdulillah. Tahniah KDN FC II berjaya membawa pulang tiga mata penuh setelah menewaskan KDA FC B dengan jaringan 2-0. Tahniah kepada semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024




















