Ringgit kukuh: Jangkaan dahulu juga meleset…

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa jangkaan yang pernah dibuat oleh Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan sebelum ini yang menjangkakan Ringgit akan mengukuh terbukti meleset beberapa kali.

- Advertisement -

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menyatakan perkara itu sewaktu mengajukan soalan tambahan sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying yang menjangkakan Ringgit akan mengukuh pada masa akan datang.

“Saya nak ingatkan timbalan menteri pada tahun lepas, November 2023, Menteri Ekonomi menyatakan Ringgit dijangka akan mengukuh tahun 2024. Pada masa itu Ringgit RM4.65 (berbanding Dolar AS). Hari ini Ringgit RM4.71. Jangkaan itu meleset.

“Dalam Dewan Negara pada 1 April lepas, Menteri Kewangan Kedua menyatakan bahawa ‘kita menjangka bahawa Ringgit akan memulih pada separuh kedua tahun 2024 pada RM4.50 per dolar Amerika Syarikat’,” katanya.

Tambahnya, kelemahan Ringgit itu adalah suatu perkara yang serius kerana beliau ada membaca kenyataan daripada Menteri MITI pada 21 Jun lepas bahawa kelemahan Ringgit memberi impak besar kepada Malaysia dalam daya saing dunia.

“Apabila timbalan menteri menyebut tadi bahawa negara lain juga matawang mereka juga melemah dibanding Ringgit. Tetapi Malaysia yang menerima impaknya,” katanya.

Fadhli dalam nada sinis berkata, jawapan timbalan menteri itu jika dipetik oleh pihak media boleh menghasilkan satu berita yang menarik berbunyi ‘Malaysia jangka akan mengukuh nilai Ringgitnya’.

“Soalan saya, adakah ada jangkaan baru daripada Kementerian Kewangan supaya kita boleh uar-uarkan kepada rakyat jangkaan baharu? Sebab separuh masa kedua ni, nak beberapa hari lagi masuk separuh penggal kedua.

“Apakah jangkaan baharu daripada Kementerian Kewangan nilai Ringgit per dolar Amerika Syarikat selepas daripada ini?

“Adakah benar bahawa kejatuhan Ringgit juga ada baiknya untuk negara sebagaimana disebut oleh salah seorang menteri pada tahun lepas?” soalnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat mengajukan soalan tambahan tersebut daripada soalan asal Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, Hassan meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah sebab-sebabnya pada akhir-akhir ini nilai Ringgit Malaysia semakin kukuh berbanding Dolar Amerika Syarikat.

Sementara itu, timbalan menteri itu dalam jawapannya berkata, beliau mengakui bahawa Ringgit memang berada dalam keadaan lemah berpunca daripada situasi ekonomi Amerika Syarikat.

“Jadi kita memang memantau dengan rapi sekali. Berbanding dengan beberapa bulan yang lalu, sekarang kita dalam ‘track’ yang betul.

“Kami menjangka dalam akhir tahun, suku keempat tahun ini nilai Ringgit akan lebih kukuh lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -