
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi perhatian kepada golongan belia terutama di luar bandar berkaitan pendidikan keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).
Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) berkata, kerajaan perlu melonggarkan syarat seperti menawarkan pembiayaan yuran usahawan yang mudah lulus kerana ia berbeza dengan usahawan yang berada di semenanjung.
“Tujuan melonggarkan syarat adalah untuk memperbanyakkan lagi usahawan-usahawan di rumah panjang ini berada dalam sektor masing-masing ataupun memasarkan produk tradisional mereka kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam soalan asal, Muslimin meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan inisiatif proaktif kementerian dalam usaha membantu golongan usahawan kecil terutama dalam kalangan B40 dan usahawan belia di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah dan Sarawak.
Menteri berkenaan, Datuk Ewon Benedick, berkata kementeriannya telah membuka pejabat cawangan INSKEN di Sabah pada 25 Mei lalu, manakala di Sarawak pada 1 Oktober lalu.
Katanya, pejabat itu dibuka untuk memulihkan lebih banyak program bimbingan keusahawanan yang dianjurkan oleh INSKEN itu dan dapat dipanjangkan di Sabah dan Sarawak, termasuk golongan belia di luar bandar.
“Saya dapati penyertaan itu sangat memberangsangkan dan sudah tentu kriteria ini dapat dilonggarkan dan menjadi penelitian di bawah kementerian, tetapi kita juga mahu usahawan tersebut boleh bersaing dengan usahawan-usahawan di sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024











