Pekerja perubatan, tiga kanak-kanak maut dibedil Zionis

Fadi al-Wadiya sedang merawat seorang pesakit kanak-kanak di klinik Bitlahia di utara Gaza. (FOTO FAIL: Press TV.Ir)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Seorang pekerja kesihatan Doctors Without Borders (MSF), pakar fisioterapi, Fadi Jihad Muhammad Al-Wadiyah telah terbunuh dalam serangan udara tentera Zionis Israel sewaktu dalam perjalanan untuk bertugas di wilayah berkenaan.

Dalam serangan yang dilakukan pada petang Selasa itu, sebuah pesawat zionis Israel yang beroperasi di bawah arahan Komando Selatan dan Direktorat Perisikan menyasarkan kawasan di Bandar Gaza, di mana Fadi Jihad yang sedang berbasikal dan lima yang lain termasuk tiga kanak-kanak berada pada masa itu, lapor Al Jazeera.

- Advertisement -

Fadi Jihad merupakan antara individu penting yang banyak membantu organisasi MSF dengan pengetahuannya tentang elektronik dan kimia.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak MSF, tiada tempat di Gaza yang selamat, lokasi di mana tentera zionis Israel telah berulang kali menyerang pekerja kesihatan dan kemudahan perubatan,menjadikannya hampir mustahil untuk pihaknya terus memberikan bantuan kemanusiaan bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang terlibat.

“Kami sangat marah dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan rakan sekerja kami, Fadi Al-Wadiya, dalam serangan pagi ini di bandar Gaza,” ujar MSF menerusi laman X miliknya. 

Doctors Without Borders adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan amal yang menyediakan rawatan perubatan kemanusiaan, serta menyampaikan bantuan kemanusiaan, penjagaan kesihatan, perubatan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang terjejas akibat konflik bersenjata, wabak penyakit dan bencana alam di lebih 70 buah negara. – Agensi/ – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -