’30 peratus pemilikan saham boleh pengaruhi MAHB’

Mohd Ashraf Mustaqim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pemuda Pakatan Harapan (PH) tidak tahu ke pegangan saham  minoriti sebanyak 30 peratus boleh mempengaruhi sesebuah syarikat?”

Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata demikian, susulan dakwaan Ketua Penerangan Muda Harapan, Ammar Atan dalam kenyataannya sebelum ini bahawa Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal  tidak memahami konsep minoriti dalam isu pegangan ekuiti korporat.

- Advertisement -

“Menurut Ammar, dalam konteks Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), kerajaan akan memiliki 70 peratus pegangan saham syarikat tersebut manakala bakal pegangan ekuiti oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock Inc (BlackRock) adalah jauh lebih rendah.

”Katanya, undi 70 peratus kerajaan sudah tentu akan mengalahkan undi 25 peratus GIP itu sendiri,” katanya.

Beliau mempersoalkan sama ada Ammar tidak tahu sudah bertahun-tahun tata urus korporat seluruh dunia tidak lagi menggunakan sistem majoriti-minoriti dalam menentukan penguasaan sesebuah syarikat.

Tambah beliau, pemilik saham minoriti antara 30 hingga 49 peratus wajib melaporkan kepentingan minoritinya dalam syarikat lain.

“Pemegang saham minoriti sebegini dipanggil ‘Associate’ (Bersekutu) yang mana Blackrock melalui anak syarikatnya jatuh dalam kategori ini untuk pegangannya dalam MAHB terutamanya sejak peraturan Beneficial Ownership (BO) yang dikuatkuasakan di Malaysia iaitu pada 1 Mac 2020 yang lalu.

“Menurut BO, kalau pegang minoriti 30% saham pun dikira boleh mempengaruhi syarikat yang mana pada 1 April 2024, peraturan BO ini menjadi lebih ketat. 

“Menurut Seksyen 60A Akta Syarikat 3016,  seseorang ialah pemunya benefisial (pemilik mutlak) bagi suatu syarikat jika orang itu merupakan orang sebenar yang mempunyai milikan mutlak atau yang mempunyai kawalan mutlak ke atas suatu syarikat dan termasuk seseorang yang mempunyai kawalan berkesan mutlak ke atas sesuatu syarikat,” jelasnya.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti adalah di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhbar Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa berdasarkan senarai pelaburan BlackRock di Malaysia, sektor perbankan merupakan tiga entiti tertinggi dilaburnya iaitu Public Bank sebanyak RM2.34 bilion (2.75 peratus), diikuti Maybank RM2.16 bilion (1.88 peratus) dan CIMB RM1.42 bilion (2.07 peratus).

Namun begitu, Tenaga Nasional Berhad di tangga keempat dengan pelaburan sebanyak RM8.6 juta (1.32 peratus), disusuli Metal Aluminium RM625 juta (1.62 peratus) dan CelcomDigi RM526 juta (1.03 peratus). 

Sehubungan itu, beliau menyatakan dari segi praktis, jika sesebuah syarikat asing memiliki saham dalam satu syarikat tempatan maka syarikat tersebut wajib melaporkan pemegang sahamnya iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus.

Tambah beliau lagi, jika menurut Pemuda Harapan yang menyatakan BlackRock hanya mempunyai 30 peratus pegangan saham melalui anak syarikatnya juga dikira berupaya mempengaruhi syarikat MAHB itu sendiri.

“Jadi nasihat saya kepada Pemuda Harapan ialah jangan terbawa-bawa dengan amalan buruk politik buruk iaitu ‘winner takes it all’ (pemenang ambil semua) dengan menganggap bahawa minoriti pemegang saham bermakna kalah dan langsung tiada makna  dalam kefahaman korporat dan ekonomi. 

“Di negara-negara maju di Barat yang PH puja, parti politik minoriti pun diberikan kuasa yang kuat dan tidak seperti PH yang jelas merupakan kuku besi ketinggalan zaman yang sekadar menjadi lembu kenyang,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -