
KUALA LUMPUR: Armada Bersatu Malaysia secara konsisten menentang segala usaha kerajaan dalam penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang ada kaitan dengan syarikat pro-Israel, BlackRock.
Penolong Setiausaha Armada Nasional, Faiz Rahmad, menyokong penuh inisiatif Sekretariat Solidariti Palestin bagi memastikan tekanan terus diberikan kepada penguasa bagi menghentikan penjualan aset penting negara kepada syarikat tersebut.
Beliau berkata, syarikat BlackRock bersekongkol secara langsung dengan pembantaian rakyat Palestin di Gaza.
“Armada Bersatu hadir dalam rapat umum ini dengan membawa tuntutan mendesak terhadap pihak kerajaan menghentikan tindakan gila serta tidak sensitif ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Faiz berkata, pihaknya turut menuntut kerajaan untuk menghentikan serta-merta penjualan aset penting negara kepada BlackRock atas tiga faktor utama.
“MAHB merupakan sebuah syarikat penting negara yang menjana keuntungan melebihi RM500 juta pada tahun lalu.
“Jadi, tidak logik syarikat yang berfungsi dengan baik serta menyumbang pendapatan negara di jual kepada entiti asing.
“Selain itu, MAHB memegang aset strategik negara serta merupakan salah satu badan penting dalam menguruskan pintu masuk utama negara.
“Dengan melalui penjualan saham ini akan memberikan akses langsung kepada entiti asing untuk terlibat dalam pengurusan pintu utama negara ini, seterusnya membuka ruang kepada kuasa asing untuk mengganggu gugat keselamatan negara,” jelasnya.
Beliau berkata, BlackRock merupakan antara syarikat pelaburan di kesan terlibat dan memegang saham terbesar syarikat pembekalan senjata kepada negara zionis Israel.
“Senjata ini digunakan untuk membunuh dengan kejam kepada bayi, anak kecil, orang tua dan rakyat Gaza yang tidak bersalah sepanjang konflik berdarah ini.
“Malaysia sebagai sebuah negara utama menentang penjajahan dan penindasan rakyat Palestin berkurun lamanya perlu kekal dalam wadah perjuangan ini, serta bertindak tegas dengan menolak segala bentuk urusan perniagaan terhadap mana-mana entiti yang menyokong genosid terancang ini,” katanya.
Beliau menegaskan, pihaknya mengambil tindakan drastik melalui Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dengan menghantar usul khas di Dewan Rakyat untuk dibentangkan, dibahaskan dan diambil tindakan segera.
Katanya, hal demikian dibuat bagi menghalang kerajaan meneruskan niat tidak bermoral dalam isu penjualan saham MAHB kepada GIP yang dimiliki BlackRock.
“Armada Bersatu melalui Ahli Parlimen Machang juga menghantar usul khas untuk menggantikan penggunaan nama Israel kepada ‘Negara Palestin Yang Diduduki’.
“Hal ini adalah bagi mengabsahkan pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang mendukung perjuangan kemerdekaan Palestin secara menyeluruh serta memastikan identiti negara haram Israel terpadam dari bumi Malaysia ini.
“Saya mewakili Armada Bersatu mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur dan jurucakap-jurucakap hebat mewakili pelbagai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu berpengaruh yang merentasi pelbagai latar belakang,” katanya.
Justeru, pihaknya turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar terus menekan ‘sang penguasa’ dan tidak berganjak walau seinci dalam menghentikan penjualan saham MAHB kepada BlackRock.
“Hal demikian bagi memelihara moral kompas negara dari terpesong, serta mula berlembut dengan entiti asing yang terlibat terus dengan genosid dan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024




















