Isu BlackRock: ‘3K’ kerajaan gagal urus niaga MAHB

Khairy Jamaludin (kiri) dalam forum umum, Tolak BlackRock: Jangan Jual Airport Negara Kepada Zionis di Kuala Lumpur pada lewat malam tadi, 20 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) oada ketika ini dilihat telah gagal dalam isu urus niaga Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sehingga membabitkan syarikat pro-Israel, BlackRock.

Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberikan faktor ‘3K’ di sebalik mengapa urus niaga terhadap MAHB dianggap gagal iaitu Konsistensi, Keperluan dan Ketelusan.

- Advertisement -

“Pendirian asas negara Malaysia daripada awal lagi adalah memperjuangkan isu Palestin. Pendirian asas kerajaan Madani juga adalah untuk menjadi pejuang terpaling kehadapan dalam isu Palestin.

“Tak guna kalau kita nak sekolah Olaf Scholz (Canselor Jerman), ataupun kita nak adakan rapat umum di Bukit Jalil dengan menghimpunkan puluhan ribu orang, tetapi you’re not willing to put your money where your mouth is” katanya ketika berucap dalam forum umum, Tolak BlackRock Jangan Jual Airport Negara Kepada Zionis, di sini, lewat malam tadi.

Turut hadir ialah mantan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir; Pengerusi Pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Prof Mohd Nazari Ismail; mantan Menteri Luar Negeri; Saifuddin Abdullah; Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Siti Rahayu Baharin (Cikgu Rahayu) dan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan  Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Khairy lagi, apabila timbul isu yang melibatkan kepentingan ekonomi dan korporat, Kerajaan Perpaduan PH-BN dilihat tidak sanggup melihat kepada konsistensi polisi, iaitu dalam memperjuangkan isu Palestin dan menolak kerjasama dengan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan zionis Israel.

“Kita tak nak tengok air liur, kita nak tengok tindakan daripada kerajaan. Itu yang bermaksud konsistensi.

Are you brave enough to tell your sovereign wealth fund, scrap the deal? (Adakah anda cukup berani untuk beritahu dana pelaburan berdaulat anda untuk batalkan perjanjian itu?) Apa yang kita lihat pada hari ini, tidak,” tegasnya.

Menyentuh mengenai elemen Keperluan, beliau menyatakan bahawa MAHB bukanlah syarikat yang sedang mengalami kerugian. 

“Sebaliknya, tahun kewangan pada 2023 menunjukkan syarikat berkenaan memperoleh keuntungan lebih RM500 juta,” ujarnya.

Tambah beliau, keuntungan itu diperoleh sebelum perjanjian baharu yang membenarkan MAHB untuk membelanjakan keuntungan bagi tujuan perbelanjaan modal dimeterai dan dipersetujui oleh jemaah menteri pada Mac lalu.

“Dalam keadaan MAHB untung, dalam keadaan dah ada perjanjian baharu yang membenarkan MAHB untuk melabur menggunakan sama ada duit sendiri, ataupun duit yang dikutip daripada penumpang ataupun duit daripada pasaran modal.

“Kenapa pula sekarang kita nak jual benda yang lumayan kepada syarikat seperti BlackRock?…we don’t need the money (kita tak perlukan duit itu),” tegasnya.

Soal Ketelusan pula, tambah beliau, apa sahaja keputusan yang diambil oleh kerajaan mestilah telus dan perlu dikomunikasi dengan baik.

“Saya yakin jemaah menteri juga tidak dimaklumkan mengenai isu ini. Sebab apa? Sebab semua ini dimaklumkan oleh Pengerusi Khazanah, iaitu Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, merangkap pejuang terpaling Palestin.

“Dalam isu ketelusan juga kerajaan gagal. Jadi dalam litmus test of policy (ujian litmus polisi), ini merupakan kegagalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -