PRU UK: Rishi Sunak diramal kalah besar

Keir Starmer (kiri) dan Rishi Sunak. (FOTO: Sky News)
- Advertisement -

LONDON: Tiga tinjauan pendapat yang dilakukan pada Rabu (19 Jun) lepas mendapati Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, Rishi Sunak dijangka mengalami kekalahan besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) United Kingdom (UK) pada 4 Julai depan.

Menurut tinjauan yang dilakukan syarikat penyelidikan pasaran, YouGov menunjukkan Parti Buruh yang dipimpin oleh Keir Starmer berada di landasan tepat untuk memenangi sekurang-kurangnya 425 kerusi daripada 650 kerusi keseluruhan di parlimen; yang terbanyak dalam sejarah parti itu, lapor AFP.

Sementara itu, tinjauan dilakukan Savanta menunjukkan Parti Buruh bakal memenangi 516 kerusi di parlimen, manakala tinjauan More in Common memberikan 406 kerusi yang bakal dimenangi parti berkenaan.  

- Advertisement -

Bagi Parti Konservatif, YouGov meramalkan parti itu akan memenangi sekitar 108 kerusi, 32 kerusi lebih rendah berbanding tinjauan pendapatnya dua minggu lepas. Sementara Savanta meramalkan hanya 53 kerusi, More in Common pula menjangkakan Konservatif akan memenangi 155 kerusi.

Jika ramalan yang dilakukan ini sama dengan keputusan pilihan raya 4 Julai depan, ia akan menjadikan Parti Konservatif dengan bilangan kerusi terendah dalam sejarah hampir 200 tahunnya bertanding dalam pilihan raya.

Rishi Sunak dalam manifesto partinya minggu lepas berjanji untuk memotong 17 bilion pound (RM102 bilion) cukai bagi orang yang bekerja jika beliau dilantik semula. Namun, usahanya itu dilihat gagal untuk meningkatkan tahap sokongan rakyat kepada partinya.

Perdana Menteri itu juga diramalkan boleh kehilangan kerusinya di Richmond (Yorks), utara England iaitu kawasan yang dianggap sebagai kerusi selamat bagi Konservatif. 

Beliau turut mengakui bahawa orang ramai kecewa dengan diri dan partinya selepas lebih sedekad berkuasa, yang dikuasai oleh kemelut politik dan skandal.

Kali terakhir Parti Buruh menjadi kerajaan adalah pada 14 tahun lepas, sewaktu Gordon Brown memimpin parti itu selama tiga tahun sebelum tewas dalam pilihan raya 2010 kepada Parti Konservatif pimpinan David Cameron. – Agensi/– HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -