
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar dan amat kecewa dengan sikap berdiam diri Menteri Besar Selangor terhadap tragedi hitam yang telah berlaku di Kampung Sri Makmur, Gombak, Selangor.
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, sekurang-kurangnya 100 buah rumah di kampung tersebut telah dirobohkan apabila hanya diberi tempoh tiga hari untuk berpindah setelah diberi insentif sebanyak RM1,000 pada Isnin (27 Mei) lepas walaupun tidak semua mendapat pampasan tersebut.
“Logik kah hanya diberi masa tiga hari untuk mengosongkan rumah hanya berbekalkan wang pampasan RM1,000? Begitulah nasib penduduk Kampung Sri Makmur. Mereka diusir dari tanah yang mereka duduki sejak puluhan tahun lalu tanpa rasa belas kasihan.
“Ibarat pelarian yang tiada tempat berlindung. Biarpun ditawarkan dengan Rumah Selangorku, hakikatnya masih ada penduduk yang langsung tidak mempunyai tempat berteduh kerana tidak tersenarai. Mengapa kerajaan begitu zalim dengan nasib mereka ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa perancangan asal terhadap tanah tersebut mahu dibangunkan sebuah hospital, tetapi kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat swasta untuk membina sebuah kondominium mewah.
“Semua persoalan ini masih menimbulkan tanda tanya. Jika benar, mengapa kerajaan seolah-olah membiarkan kampung yang sudah dihuni berpuluhan tahun di kawasan bernilai tinggi ini berjaya dimanipulasi para kapitalis yang hanya mahu mencari keuntungan?
“Nampaknya, semakin megah berdiri bangunan-bangunan baharu pencakar langit di tanah Gombak ini, semakin menipis nilai kemanusiaan dan toleransi dalam memahami realiti penduduk Kampung Sri Makmur.
“Tiada guna berstatus negeri maju jika masih ada rakyat yang merempat di negeri sendiri. Jangan biarkan kepesatan pembangunan mengabaikan kebajikan rakyat yang seharusnya menjadi fokus utama kerajaan. Rakyat perlukan pembelaan,” katanya.
Terdahulu, semalam Harakahdaily melaporkan ia keadaan kecoh pada pagi Isnin (27 Mei) itu berlaku apabila penduduk enggan berpindah dari kediaman masing-masing yang telah didiami sekian lama, sehingga pihak berkuasa terpaksa mengawal keadaan ketika jengkaut merobohkan kediaman mereka.
Difahamkan tanah berkenaan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan perobohan itu adalah bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium.
Sementara Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa dalam kenyataan medianya sebelum ini menimbulkan persoalan adalah apabila nama sembilan keluarga di kampung tersebut tidak dimasukkan ke dalam senarai tawaran rumah tawaran rumah Selangorku dan pampasan pemindahan RM1,000.
Laporan Harakahdaily semalam juga menyiarkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham dalam sidang media berhubung isu perobohan Kampung Sri Makmur Gombak yang menegaskan tindakan perobohan rumah di kampung tersebut sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau sehubungan itu menuntut penjelasan segera daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan negeri Selangor berhubung isu keganasan yang berlaku termasuk kemunculan sekumpulan pemuda bertopeng, bertopi serta mengenakan vest berwarna hijau ketika tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di kampung tersebut.
Hilman juga berkata, beliau sendiri telah membangkitkan dan menyuarakan isu kampung tersebut dalam Sidang Dewan Negeri Selangor pada November tahun lalu.
Beliau juga telah mengambil tanggungjawab mengaturkan pertemuan antara wakil penduduk dengan Menteri Besar (Selangor) dan hasilnya operasi telah ditangguhkan beberapa kali untuk membolehkan rundingan dibuat dan 21 penduduk telah menerima pampasan dan ganti rugi. – HARAKAHDAILY 30/5/2024




















