Solidariti Faisal Halim: Pemuda PAS Selangor kecewa dengan MFL

Mohamed Sukri menegur agar MFL sepatutnya perlu lebih sensitif dengan ancaman dan risiko yang dihadapi pemain bola sepak di negara ini selepas apa yang dialami Akhyar, Faisal dan Safiq.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Selangor menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tetap berkeras mahu meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih antara Selangor FC dan kelab Johor Darul Ta’zim, walaupun Selangor FC telah membuat permohonan rasmi bagi menangguhkan perlawanan tersebut ke tarikh yang lain.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, MFL sepatutnya perlu lebih sensitif dengan ancaman dan risiko yang dihadapi para pemain. 

- Advertisement -

“Bukan seorang, tetapi sudah tiga orang pemain skuad bola sepak kebangsaan yang terlibat. Ini soal nyawa dan keselamatan yang sepatutnya dititikberatkan, bukan sekadar jaminan keselamatan di atas padang sahaja.

“Sebelum ini pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid disamun dan kepalanya dihentak kuat menggunakan cota di Terengganu. 

“Kemudian, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai Mickey, melecur teruk akibat disimbah asid pada Ahad lalu. Bahkan, terdapat tulang dan sarafnya yang terhakis. Terkini, cermin kereta Safiq Rahim pula dipecahkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sukri berpandangan, titah baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih juga sangat tepat.

“Keutamaan kini bukan untuk menang piala tersebut, tetapi keutamaan terpenting adalah menjaga nyawa dan keselamatan pemain. 

“Moral para pemain sedikit terganggu dengan insiden-insiden yang berlaku,” tegasnya.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Selangor menzahirkan rasa dukacita terhadap apa yang telah berlaku dan menyeru seluruh masyarakat agar saling bekerjasama untuk menghentikan keganasan ini.

“Kami mendoakan semoga Faisal Halim diberi kesembuhan dan kesabaran atas segala yang berlaku #StandWithFaisalHalim,” katanya. 

Terdahulu, pemain berusia 26 tahun yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ oleh peminatnya mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan susulan insiden di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lepas.

Faisal telah menjalani dua pembedahan dan kini berada dalam fasa rawatan rekonstruktif, yang melibatkan pembaikan struktur dan pemulihan struktur badan pemain itu.

Ini merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Akhyar Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun pada 2 Mei 2024 dipercayai cota di bahagian kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali. 

Pada 7 Mei pula kereta yang dipandu pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim diserang sebelum dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran Pusat Latihan JDT, di Padang Seri Gelam, Johor Bahru. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -