Malaysia beracuan Singapura jika DAP perintah negara?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP yang sering dikaitkan dengan Singapura terutama parti pemerintahnya PAP, bukanlah satu dakwaan tuduhan, tetapi ia kecenderungan diserlahkan oleh individu-individu penting parti itu sendiri.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang pernah berpengalaman bersama pentadbiran DAP di negeri dikuasai parti itu sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut berkongsi pandangannya.

Menurut beliau, sejak DAP mengambil alih Pulau Pinang dari PRU2008, Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri dan Setiausaha Agung DAP kerap berkunjung ke Singapura, di mana Iszuree juga pernah mengikuti rombongan MBPP ke negara itu tahun 2010.

Terangnya, DAP cuba mendapatkan pelbagai khidmat nasihat dalam pelbagai sektor dan tidak menolak bahawa acuan yang dibawa daripada Singapura itu akan mencerminkan cara pemerintahan parti itu di Pulau Pinang.

Beliau diminta mengulas satu video lama ucapan Pang Sock Tao yang menunjukkan pujian kekaguman, obses dan berkiblatkan Singapura oleh wanita itu sebelum menjadi calon PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu (KKB).

Iszuree membayangkan, sekiranya DAP mendapat kuasa atau kekuatan majoriti kerusi, parti itu akan menerapkan dalam pemerintahan pendekatan pecah perintah di mana rancangan-rancangan ke arah itu sudahpun dapat dilihat.

“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – yang diterajui Menteri DAP) dalam merancang sesuatu strategi perbandaran di kota-kota besar kita akan lihat mereka akan berusaha sedaya upaya menguasai kota-kota. 

“Di situlah ia akan menghubungkan kekayaan peniaga-peniaga pendukung DAP dari satu bandar ke satu bandar yang akhirnya yang akan memberi satu implikasi ekonomi tidak baik kepada rakyat seluruhnya. 

“Mereka sedang berusaha untuk merealisasikan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. DAP ni sebenarnya dah buat ‘homework’ awal dah. Tahun 2008 dia menang, dia bermuka-muka dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. 

“Tapi setelah PRU13 (tahun 2013) yang baru nampak kelakuan sebenar DAP. Mereka mencampuri hal ehwal orang Melayu, hal-hal ehwal orang Islam dan akhirnya kita lihat kampung-kampung Melayu terjejas (di Pulau Pinang), banyak yang telah dirobohkan.

“Kita lihat di Pulau Pinang kondominium bertambah-tambah. Maka strategi yang berlaku di Singapura telah dilakukan oleh kerajaan DAP. Nilai-nilai pemerintahan di Singapura itu sedang diterapkan ke bandar-bandar besar khususnya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru. 

“Kalau kita terus biarkan kerajaan DAP memerintah, kita akan lihat kemusnahan hak-hak tanah kepunyaan orang Islam dan Melayu sepertimana yang berlaku di Pulau Pinang ini secara berperingkat-peringkat. Akan dirancang dengan begitu strategik,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat itu juga mengingatkan mengenai tindakan serupa sedang membayangi di tempat lain, terutama pengambilan tanah diduduki orang Melayu-Islam di beberapa negeri atas nama pembangunan projek mega.

Terang Iszuree, ia sebagaimana projek kereta api laju, pembinaan jalan atau lebuh raya, perumahan mewah dan lain-lain yang biasanya melibatkan pengambilan tanah di kawasan strategik didominasi orang Melayu-Islam.

Mengambil contoh di Pulau Pinang lagi khususnya di Teluk Kumbar yang merupakan kawasan majoriti Melayu ceritanya, dibina asrama pekerja asing, sedangkan rancangan asal pembinaan adalah di Batu Kawan.

“Yang memperlihatkan perancangan licik dalam mengurangkan majoriti orang Melayu di situ. Maka ini tidak mustahil ada ‘linked’ (kaitan) dengan perancangan yang KPKT gunakan dari pakar-pakar HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) di Singapura,” terangnya terhadap tindakan pecah perintah itu.

Iszuree malah melihat tindakan KPKT mengumumkan peruntukan RM5.21 kepada Majlis Daerah Hulu Selangor itu sebagai sebahagian taktik sogokkan dan projek pernah digunakan oleh Barisan Nasional (BN) dahulu.

Beliau tidak menolak ia adalah kesempatan yang diambil DAP khususnya Nga Kor Ming menggunakan portfolio dan peruntukan di bawahnya untuk memastikan DAP mengekalkan kemenangan di KKB.

Apatah lagi katanya, calon diletakkan itu adalah Setiausaha Akhbar Menteri itu sendiri di mana kekalahan hanya akan memberi tamparan besar kepada DAP dan khususnya Kor Ming sendiri. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -