Apa pendirian Sock Tao terhadap budaya politik Kor Ming?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan bagi  Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB), Pang Sock Tao digesa menyatakan pendirian terhadap budaya politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, ia adalah supaya rakyat dapat menilai dengan jelas dan matang dalam PRK KKB menjelang 11 Mei ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, pemilihan Sock Tao yang merupakan Setiausaha Akhbar Kor Ming, PH bagi PRK KKB secara tidak langsung menjawab tindakan tidak demokratik oleh Kor Ming yang secara tiba-tiba mengumumkan projek jutaan ringgit untuk KKB.

“Besar harapan kami agar calon yang sudah berkhidmat selama hampir tiga tahun kepada YB Nga Kor Ming ini dapat mengambil pengajaran dan tidak mengulangi budaya politik biadab dan tidak matang yang diamalkan oleh Naib Pengerusi DAP itu.

“Saya yakin kebanyakan rakyat tidak lupa dengan kenyataan dan tindakan YB Nga Kor Ming yang sering menyentuh sensitiviti awam serta mengeruhkan keadaan bila mana beliau; (Pertamanya) mencadangkan untuk Kampung Baru Cina di Selangor diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zurk, perkara sensitif kedua disentuh Kor Ming adalah menggunakan kalimah Ilahi dalam hantaran perayaan Ponggal di laman media sosial beliau.

“(Ketiga ialah beliau) melabel PN (PERIKATAN NASIONAL) sebagai Taliban untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Islam. (Keempat) menyifatkan pelajar yang berpakaian seperti pejuang Hamas sebagai pengganas.

“(Kelima ialah beliau) memaparkan logo DAP pada replika cek sumbangan kerajaan yang diserahkan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina.

“(Keenam ialah beliau) menyelar kempen boikot yang dibuat rakyat ke atas produk yang berkaitan dengan Israel. (Ketujuh  ialah beliau) menggunakan kedudukan untuk meluluskan dana RM5.21 juta ketika fasa PRK KKB,” kongsinya.

Dalam pada itu, Zurk menyatakan secara jujurnya PAS Negeri Selangor agak sangsi dengan pendirian ock Tao selaku pegawai Tugas-tugas Khas serta Setiausaha Akhbar Kor Ming yang melihat secara dekat siri kebiadaban politik ini berlaku.

“Kami mendesak agar calon PH di KKB ini menyatakan pendirian beliau terhadap isu-isu di atas agar rakyat dapat menilai dengan jelas dan matang dalam PRK Kuala Kubu Bharu kali ini.

“Pastinya pengundi KKB yang terdiri daripada pelbagai bangsa terbuka untuk menerima mana-mana individu menjadi calon namun pastinya juga mereka tidak boleh menerima bakal pemimpin yang tidak adil dan menyokong kepada amalan politik salah guna kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -