
KUALA LUMPUR: Datuk Ali Biju (PN-Saratok) menyarankan agar masakan tradisional Dayak di Sarawak iaitu ‘pansuh’ dimasukkan dalam senarai ‘Masakan Warisan Negara’.
“Pansuh ini merupakan masakan tradisional masyarakat Dayak di Sarawak di mana menggunakan buluh sebagai peralatan untuk memasak.
“Bermacam jenis ikan, ayam, daging dan nasi juga boleh dimasak dengan menggunakan buluh,” ujarnya sewaktu perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diaja’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas beliau, pansuh dimasak dengan keenakan kulinari unik dan menjadi lebih enak jika dicampur dengan herba dan ramuan asli tempatan yang boleh didapati dalam hutan Sarawak.
“Para pengunjung ke Sarawak tidak melepaskan peluang menikmati sajian unik tradisional ini. Rasa sekali pasti nak lagi.
“Oleh yang demikian pada pandangan saya, ‘pansuh’ memang layak disenaraikan sebagai masakan warisan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/3/2024




















