
MELAKA: Kenaikan harga barangan di Melaka sangat menyukarkan golongan miskin di negeri itu dengan hanya boleh membeli sekampit beras jika membawa RM50 untuk membeli keperluan harian.
Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) berkata, itu adalah realiti sebenar yang diadukan rakyat semasa beliau mengadakan lawatan ke lapangan.
“Pernah saya terjumpa satu keluarga dengan lapan orang ahli keluarga. Walaupun mereka menerima bantuan tetapi masih belum mampu menampung belanja harian keluarga yang semakin meningkat.
“Pergi ke kedai dengan hanya berbekal duit RM50, tapi hanya mampu membeli sekampit beras.
“Walaupun mahal tapi terpaksa juga membeli kerana ada anak kecil yang perlu hidup dan perlu makanan sihat. Kepada yang dewasa sanggup hanya melapik perut dengan mee segera. Ini realiti,” kongsi beliau.
Tambahnya, tidak lama lagi musim persekolahan akan dibuka dan banyak perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk persiapan persekolahan anak-anak.
“Banyak juga keluarga-keluarga yang rasa terbeban dengan belanja sekolah yang semakin besar. Kalau seorang anak pun dah cukup berat beban belanjanya, apa lagi keluarga yang besar dengan ramai anak yang masih bersekolah.
“Ini belum persiapan menyambut Ramadan yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi bagi semua umat Islam dan juga belanja persiapan Aidilfitri,” ujarnya dalam sesi perbahasan usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, sudahlah beban sara hidup semakin meningkat kini rakyat Melaka terpaksa menanggung pula beban bil air dan cukai tanah yang meningkat.
“Belum lagi kesan dari peningkatan cukai SST dan pengenalan cukai baru oleh kerajaan Persekutuan serta kenaikan bil elektrik.
“Semua kenaikan ini akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang kerana kenaikan ini terlibat secara langsung dalam rantai pemprosesan barangan sehingga barang tersebut dipasarkan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pembangkang DUN Melaka itu menambah, biarpun ada usaha kerajaan untuk menarik pelaburan ke Melaka, tapi usaha itu belum menampakkan hasil yang jelas.
“Hasil pelaburan dan peluang yang dijanjikan belum tentu dapat dikecapi 100 peratus oleh rakyat Melaka. Masih banyak lagi isu-isu rakyat yang belum diselesaikan. Realitinya rakyat kini semakin terbeban,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024




















