
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mempertimbangkan pembinaan sekolah-sekolah baharu di Kuala Langat bagi mengatasi isu kepadatan murid pada sesi akademik 2024 dan 2025.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, terdapat peningkatan pendaftaran pelajar tahun satu yang begitu mendadak di kawasan Kuala Langat terutama di zon utara.
“Isu yang berlaku pada hari ini adalah kekurangan bilik darjah dan juga kerusi meja. Beberapa tahun lalu, saya terpaksa membelanjakan hampir RM10,000 setiap tahun untuk bantu sekolah-sekolah ini dengan memberikan kerusi dan meja untuk kemudahan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian berucap dalam Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat itu juga berkata, kerajaan telah memaklumkan akan ada proses perolehan yang akan berlaku dalam jangka masa singkat, namun, sehingga kini, kerajaan masih belum melaksanakannya lagi.
“Adakah kita mahu membiarkan anak-anak kita belajar di atas lantai? Seterusnya, apakah kaedah-kaedah yang boleh membantu kepada sistem perjalanan sesi persekolahan pelajar dapat berjalan dengan baik,” soalnya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024




















