
KUALA LUMPUR: Pihak yang membekalkan benih padi disaran agar memulangkan hak penyediaan benih tersebut kepada pesawah sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membekalkannya.
Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata, perkara itu sangat penting bagi memastikan tiada gangguan terhadap jadual penanaman padi seperti yang telah ditentukan oleh agensi-agensi berkaitan.
“Tidak lama lagi musim penanaman padi akan bermula. Kuala Kedah amat mengharapkan agar isu kekurangan benih padi sah tidak lagi muncul, atau harga padi benih melambung berlipat kali ganda.
“Sekiranya pihak berkenaan merasakan sudah tidak mampu menyediakan benih padi sah yang mencukupi, maka pulangkan semula hak penyediaan benih padi kepada pesawah,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau turut mengharapkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup agar dapat menetapkan harga kawalan serta menguatkuasakan peraturan kawalan harga terhadap baja dan racun.
“Ini supaya input penanaman padi itu tidak naik secara mendadak yang meningkatkan kos pengeluaran serta membebankan para pesawah.
“Isu ini perlu ditangani secara serius supaya industri padi negara berada dalam keadaan relevan dan selamat,” ujarnya semasa berucap pada Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Dr Ahmad Fakhruddin turut meminta agar pihak Kerajaan Persekutuan mencari jalan penyelesaian terhadap fenomena tanah jerlus yang berlaku di kawasan sawah di bawah MADA sehingga mengakibatkan kerugian ke atas pesawah dan industri padi.
“Oleh itu, apakah langkah-langkah tuntas yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani permasalahan ini secara holistik? Apakah terdapat usaha-usaha untuk mencipta atau inovasi jentuai yang lebih ringan agar mudah menuai di tanah lembut dan sebagainya?
“Apakah terdapat rancangan untuk membina saliran baru untuk mempercepatkan air mengering di kawasan yang terlibat dengan tanah jerlus?” soalnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
Beliau dalam ucapannya turut mencadangkan agar dibentuk satu task force yang melibatkan silang agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu itu secara efektif dan efisien. – HARAKAHDAILY 6/3/2024













