
KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat masih gagal untuk melaksanakan pengkelasan pendapatan isi rumah berdasarkan ‘pendapatan boleh belanja bersih’ seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, ia dapat dilihat melalui beberapa polisi kerajaan yang masih menggunakan kaedah pengkelasan B40-M40-T20 sehingga kini.
“Saya merujuk kepada laporan akhbar pada Jun 2023 yang mana komitmen kerajaan untuk menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 tahun depan iaitu tahun ini.
“Dan disebutkan bahawa akan mula dilaksanakan, bukannya dicadang dilaksanakan. Peralihan dasar ini bermula Januari 2024. Cuma untuk rekod Januari tahun ini belum dilaksanakan lagi,” ujar beliau.
Tambah beliau, pengumuman tambang haji oleh Tabung Haji dan pemberian ‘Bantuan Tunai Rahmah’ pada hujung Januari dilihat masih menggunakan klasifikasi lama, bukan mengikut ‘pendapatan boleh belanja bersih’.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS itu berkata demikian semasa memberikan soalan tambahan dalam sesi ‘Soal Jawab Lisan’ di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Ekonomi menyatakan syor Kerajaan untuk memperkenalkan pengkelasan pendapatan isi rumah baharu bersandarkan klasifikasi ‘pendapatan boleh belanja bersih’ berbanding yang digunakan pada masa ini.
Syahir semasa menyampaikan soalan tambahan itu menegaskan bahawa, pengkelasan had isi rumah ini penting untuk memastikan bantuan dan subsidi kerajaan disalurkan secara tepat.
Selain itu katanya, ia juga penting kepada penggubal undang-undang untuk melihat perubahan yang mungkin berlaku terhadap rakyat seperti perubahan daripada miskin menjadi golongan pertengahan dan sebagainya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam jawapannya berkata, pelancaran PADU pada Januari tahun ini dianggap telah menggunakan ‘pendapatan boleh belanja bersih’.
“Apabila 31 Mac 2024 itu (kemaskini PADU) ditutup, itu membolehkan maklumat ‘pendapatan boleh guna bersih’ setiap isi rumah itu telah mengambil kira kedua-dua kumpulan data.
“Selepas itu kerajaan akan melaksanakan dari satu program ke satu program dan kita tidak mahu tergesa-gesa kerana ini melibatkan 30 juta rakyat Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024




















