
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Informasi Pelancongan Kelantan (TIC) telah menghantar lima item ikonik negeri itu termasuk budu untuk dipatenkan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO).
Lima item terbabit ialah budu dan wau antaranya wau bulan, wau puyuh; selain dikir barat, Silat Seni Jawi dan Batik Kelantan, bermatlamat bagi memelihara produk negeri itu secara sah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, usaha berkenaan (mempaten item ikonik Kelantan) untuk memastikannya agar ia terpelihara sebagai harta intelek hak milik Kelantan.
“Usaha mempaten ini penting untuk melindungi warisan budaya dan identiti Kelantan kerana semua item dan hal berkaitannya melibatkan implikasi ekonomi.
“Bukan setakat itu sahaja, melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula kita juga akan patenkan Makyong dan Wayang Kulit untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa (UNESCO),”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024, di Hotel Jewels di sini petang semalam.
Majlis pelancaran TMK 2024 akan diadakan pada 25 Februari ini di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada jam 8 malam.
Tambah beliau, program kebudayaan bertemakan ‘Malam Hikayat Selindung Bulan’ sempena majlis pelancaran itu bakal menawarkan hadiah motosikal sebagai cabutan bertuah.

Menurut Kamarudin, pemilihan tema Malam Hikayat Selindung Bulan tersebut adalah simbolik kepada Sayyid Husin Jamadil Qubra yang berkahwin dengan puteri diraja Kelantan iaitu Puteri Selindung Bulan atau Puteri Syahirah Raja Mahmud Jiddah.
“Sayyid Husin Jamadil Qubra merupakan tokoh pencetus syiar Islam di gugusan nusantara khususnya di negeri Kelantan dengan mengimbangi agama dan budaya.
“Puteri Selindung Bulan yang jelita menjadi tumpuan dan mendapat perhatian seluruh nusantara itu akan menjadi simbolikkan negeri Kelantan yang kaya dengan seni tradisi dan budaya sebagai Puteri Selindung Bulan.
“Beliau juga meminta orang ramai yang hadir mengenakan busana klasik yang bertemakan pakaian tradisional Melayu yang kini semakin dilupakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2024




















