
KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) meminta kerajaan menyatakan sama ada mempunyai perancangan untuk mengkaji semula syarat kemasukan mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Katanya, ini bertujuan untuk memartabatkan tahap kerjaya perguruan di negara ini.
Selain itu, beliau ingin tahu aspek kebolehpasaran kursus yang ditawarkan di universiti tempatan selepas mahasiswa bergraduasi.
“Saya juga ingin tahu langkah serius kerajaan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti awam sejajar dengan Pelan Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ilmu,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, ketika menjawab soalan berkata, kementerian dari semasa ke semasa mengkaji syarat kemasukan sesuatu kursus supaya sesuai dengan perkembangan semasa.
“Berhubung cadangan Yang Berhormat, kementerian sedia menambah baik syarat kemasukan,” katanya.
Namun Mohammad tidak menjawab soalan mengenai langkah serius menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar universiti awam dan kebolehpasaran kursus di universiti awam. – HARAKAHDAILY 6/11/2023




















