
JASIN: Masyarakat umum terutama orang Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak sesuka hati membuat kesimpulan sendiri tentang apa yang berlaku di Semenanjung Gaza pada ketika ini sekiranya mereka tidak tahu situasi sebenar di sana.
Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza, Nadir Al-Nuri, berkata, terdapat banyak pihak yang cuba menyalahkan pejuang Mujahidin terhadap apa yang berlaku di Gaza sedangkan mereka tidak faham apa yang selama ini dialami penduduk di sana.
“Apabila melihat kepada angka 10,000 orang (penduduk Gaza) yang mati syahid, lebih daripada 30,000 cedera, maka ramai orang yang rasa dirinya bijak pandai, mengeluarkan tohmahan-tohmahan kepada pejuang Mujahidin.
“Mereka sebutkan bahawa pejuang Mujahidin tidak pandai berstrategi; melakukan kesilapan dengan membuat serangan, kemudian tidak tahu dah nak buat apa,” dedahnya dalam program ‘Solidarity For Palestine’ yang berlangsung di Dataran Kompleks PAS Jasin (KOMPAJ), di sini, malam tadi
Tambah Nadir, golongan berkenaan turut menuduh bahawa pejuang Mujahidin adalah punca kepada pembunuhan orang-orang Palestin di Gaza ketika ini sehingga memfatwakan bahawa tidak ada jihad di bumi Palestin.
Sedangkan, tambah beliau, mereka tidak pernah sampai ke Gaza dan tidak pernah berada di lapangan dan mendampingi para syuhada dan pejuang Mujahidin itu.
Beliau menyatakan bahawa apa yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat al-Quran ayat pertama surah Al Isra yang selalu dibaca dalam majlis-majlis Isra’ Mikraj menceritakan tentang Masjidil Aqsa sebagai satu tempat yang diberkati sekelilingnya untuk menunjukkan tanda-tanda kebesaran-Nya.
“Tanda-tanda kebesaran yang kita lihat ada di bumi Allah SWT di Palestin ini ialah saki-baki umat Islam yang masih lagi sanggup untuk mempertahankan kalimah ‘La ilaha illAllah, Muhammadur Rasulullah’ dengan mengorbankan segala harta, segala masa, segala tenaga, malah nyawa dan darah mereka.
“Pemuda-pemuda inilah yang dengan sebab mereka faham tujuan mereka hidup, dengan sebab mereka tahu bahawa mereka perlu mempertahankan bumi milik umat Islam. Mereka yakin dan dekat dengan Allah SWT.
“Maka Allah SWT menghantarkan kepada mereka pertolongan dan bantuan yang tidak putus-putus,” ujarnya semasa berucap dalam program ‘Solidarity For Palestine’ yang berlangsung di Dataran Kompleks PAS Jasin (KOMPAJ), di sini, malam tadi.
Nadir yang telah menetap di Gaza sejak tahun 2013 itu menambah, tindakan pejuang Mujahidin ini adalah manifestasi daripada situasi di Gaza yang setiap hari dibedil dan dibantai; dan penduduk di situ berdepan dengan pembunuhan terutama dalam kalangan anak-anak mereka setiap hari.
Selain Nadir sebagai penceramah utama, beberapa orang tokoh lagi turut menyampaikan ucapan iaitu Pengerusi Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub; Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail;dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.
Program anjuran PAS Kawasan Jasin itu turut dihangatkan dengan bacaan doa wehdah, qunut nazilah dan gimik perasmian oleh Alumni PASTI Melaka dan bacaan puisi daripada deklamator cilik, adik Fahim.
Dalam majlis tersebut Ustaz Kamarudin turut menyerahkan sumbangan yang dikutip oleh PAS Kawasan Jasin daripada cawangan-cawangan dan individu-individu dalam kawasan tersebut yang berjumlah RM45,000.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM40,000 telah diserahkan kepada Nadir Al Nuri manakala RM5 ribu lagi diserahkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka yang diterima sendiri oleh Tuan Guru Zulkifli untuk dikumpulkan dalam program sumbangan Palestin anjuran PAS Pusat.
Turut hadir ialah beberapa orang rakyat Palestin dari Gaza yang merupakan aktivis NGO Cinta Gaza yang mengikuti Nadir pulang ke Malaysia sebelum ini namun tidak dapat masuk semula akibat perang yang berlaku. – HARAKAHDAILY 6/11/2023




















