
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperincikan jenis pekerjaan baharu bagi membolehkan ibu bapa dan pelajar mengetahui perkembangan terkini dalam pasaran pekerjaan.
Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata, ini kerana data jenis pekerjaan yang ada seperti di laman sesawang Kementerian Sumber Manusia masih tidak berubah sejak 40 tahun lalu.
Sebagai contoh, katanya data hanya menyatakan jenis pekerjaan `pengurus’ sejak dahulu hingga kini sedangkan pekerjaan itu kini mempunyai pelbagai kategori lain.
“Tidakkah Kementerian Ekonomi bercadang untuk mengeluarkan senarai baharu jenis pekerjaan supaya lebih terkini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Eknomi, Rafizi Ramli, ketika menjawab persoalan itu mengakui perkara yang dibangkitkan perlu dilakukan.
Namun, katanya bebarapa aspek berkaitan pekerjaan kini semakin dikemaskinikan seperti laporan gaji yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia setiap tiga bulan.
Katanya, begitu juga dengan permintaan dan penawaran sesuatu pekerjaan yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia secara suku tahunan.
Mengikut soalan asal, Saifuddin meminta Menteri Ekopnomi menyatakan status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL). – HARAKAHDAILY 6/11/2023











