
TANGGA BATU: Semua penyandang Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri Melaka kekal kecuali bagi dua jawatan sahaja, iaitu bagi jawatan Timbalan Pesuruhjaya-3 dan Ketua Penerangan.
Pesuruhjayanya, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kali Pertama Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.
“Ia adalah saf kepimpinan yang kekal sebelum ini. Cuma berlaku dua sahaja pertukaran, yang melibatkan kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS-3 iaitu kita memilih tuan Puhat Bedol untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Bagi (jawatan) Ketua Penerangan kita memilih al-fadhil Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail untuk memikul tanggungjawab tersebut,” katanya ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas kuliah duha di Pondok Baitul Qurro’.
Sebagai rekod, Puhat yang merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, menggantikan Ustaz Sudin Nooh bagi jawatan Timbalan Pesuruhjaya-3; sementara Ustaz Wan Zahidi yang merupakan mantan Timbalan Pesuruhjaya-1 semasa sesi 2019-2021 pula menggantikan Ustaz Abu Naufal bagi jawatan Ketua Penerangan Negeri.
Namun menurut Tuan Guru Zulkifli, ia hanyalah untuk Jawatankuasa Harian sahaja manakala untuk pembentukan jawatankuasa penuh bagi Badan Perhubungan akan dibuat pada mesyuarat seterusnya.
Tambahnya, beliau melihat bahawa barisan kepimpinan itu sebagai kepimpinan yang terbaik untuk mengemudi perjuangan PAS dalam membawa agenda politik Islam di Negeri Melaka ini dan mengorak kepada kemenangan pada PRU ke-16 nanti.
“Saya harap kesemua kepimpinan yang telah terpilih akan melaksanakan tanggungjawab dan tugasan yang diletakkan kepada mereka dengan bersungguh-sungguh.
“Seterusnya, menjadikan tugasan itu sebagai landasan untuk mereka bukan sahaja meraih kemenangan bagi parti Islam di Melaka, bahkan juga meraih yang lebih utama keredaan Allah SWT,”
Berikut ialah senarai penuh Jawatankuasa Harian Perhubungan PAS Negeri Melaka:
Pesuruhjaya: YB Tuan Guru Zulkifli Ismail
Timbalan Pesuruhjaya-1: Bakri Jamaluddin
Timbalan Pesuruhjaya-2: Ustaz Imran Abdul Rahman
Timbalan Pesuruhjaya-3: Puhat Bedol
Setiausaha: Asri Shaik Abdul Aziz
Bendahari: Mohsin Ibrahim
Ketua Penerangan: Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail.
Pengarah Pilihan Raya: Ir Hanim Abas
Ketua Dewan Pemuda: Ustaz Zulhilmi Suboh
Ketua Dewan Muslimat: Kintan Man
Ketua Dewan Ulamak: Tuan Guru Maulana Md Khairi Abd Aziz. – HARAKAHDAILY 6/11/2023




















