Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu tegas menyuarakan bantahan terhadap penjajahan dan kekejaman Zionis-Israel serta menunjukkan pendirian teguh menyokong tuntutan kemerdekaan untuk Palestin.

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, sokongan kepada perjuangan Palestin oleh rakyat dan kerajaan yang menjadi pendirian rasmi Malaysia bukan baharu bermula semalam atau 7 Oktober lalu.

Tetapi menurutnya, telah berlaku sejak awal pentadbiran di bawah Perdana Menteri pertama lagi iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan diteruskan semua kepimpinan selepas daripada itu.

“Namun, apa yang saya bimbangkan, kerajaan kini bukan sahaja dilihat seperti bersikap apologetik kepada perjuangan Palestin setelah mendakwa diugut oleh pihak tertentu dan desakan oleh rakan-rakan parti komponen. 

“Tetapi dilihat mula membengkokkan naratif utama terhadap perjuangan pembebasan Palestin hingga terperangkap mengikuti naratif pihak Israel dan Barat. Saya telah tegaskan bahawa pertembungan naratif ini harus diteliti. 

“Kita harus bangkit meluruskan naratif yang betul terhadap perjuangan Islam di Palestin. Jangan esok ada yang berani menentang HAMAS dan menyokong Israel dek kerana melihatkan HAMAS menunjukkan reaksi keras terhadap kekejaman Zionis,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi pihak kerajaan terhadap ‘tekanan’ yang didakwa diterima, tetapi tidak pula menyatakan pendirian terhadap seruan terkini bagi membela Palestin.

Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Ali Al-Qaradaghi dalam fatwa syariah terkini dikeluarkan pertubuhan itu menegaskan kewajipan semasa kerajaan negara Islam dan tentera rasminya terhadap Palestin.

Menurut Syeikh Ali, tindakan segera perlu diambil untuk menyelamatkan Gaza dari pembunuhan etnik dan pemusnahan menyeluruh yang dihadapi umat Islam Palestin daripada rejim tentera penjajah Zionis-Israel. 

“Sebagai komitmen penuh terhadap tanggungjawab membantu dari segi agama, politik, undang-undang, dan moral, serta berdasarkan perjanjian antarabangsa dan kepentingan strategik wilayah dan ummah, serta sesuai dengan kuasa sah mereka ke atas rakyat,” ujarnya.

Persidangan tergempar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga sebelum itu meluluskan usul resolusi gencatan senjata yang disokong 120 undi, namun 14 negara diketuai Amerika Syarikat menentang.

Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah menegaskan, tindakan Zionis-Israel ke atas Palestin khususnya di Gaza ketika ini adalah satu penghapusan etnik atau jenayah genosid di mana wajib ditentang.

“Jenayah ini telah diterajui oleh Zionis sejak lebih tujuh dekad yang lalu. Bukannya peperangan HAMAS dan Zionis seperti yang cuba dicanang media Barat. Lihat, akhir-akhir ini timbul polemik tidak dibenarkan larangan takbir dan qunut nazilah. 

“Seolah-olah ada gambaran terhadap kalimah takbir yang dijadikan teras dalam peperangan sebagai membawa kepada elemen keganasan. Ini polemik yang membenihkan Islamofobia dalam negara, sama ada secara jelas mahupun sebaliknya. 

“Malangnya, Kerajaan sendiri membiarkan polemik ini terus membengkak dan merencatkan nama solidariti bersama Palestin. Bagaimana kita boleh berbicara soal solidariti yang suci ini?

“Sedangkan kita juga sengaja tenggelam dalam polemik tidak perlu yang merentangi jalan kesatuan bersama perjuangan Palestin, kemerdekaannya dan hak asasi manusia rakyat Palestin,” ujarnya memuhasabahkan kerajaan.

Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution dalam satu jawapannya di Parlimen menyatakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertemu ramai pemimpin dunia bagi menyelesaikan isu Palestin.

Disebut beliau iaitu supaya penduduk Gaza dipindahkan dari kepungan ketika ini ke Sinai Mesir, sedangkan pendirian tersebut selari dengan rancangan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -