
TERKEJUT apabila mendengar jawapan dari Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Sidang Parlimen ke-15 24 Oktober yang lalu berkaitan lawatan Perdana Menteri ke Mesir.
Datuk Seri Saifuddin menyatakan “Isu pokoknya adalah mengeluarkan rakyat Palestin dari Tanah Gaza yang sedang dikepung dan itu yang dilakukan oleh Perdana Menteri sekarang”.
Kenyataan oleh menteri di dalam Parlimen ini menjadi bukti yang jelas dan tidak boleh berdalih lagi kerana sudah ada rakaman di dalam hansard.
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) meminta kepada Kerajaan khususnya Perdana Menteri untuk menyatakan pendirian sebenar terhadap isu ini. Jangan hanya berlepas tangan atau bawa naratif yang salah.
DPPNJ tegaskan, jangan membuat usaha untuk memudahkan kerja penjajahan dan penghapusan etnik Arab Palestin.
Tanah Palestin adalah hak milik Rakyat Palestin. Tiada sebarang hak untuk sesiapa mengusir mereka. Usaha Perdana Menteri itu seakan memudahkan kerja-kerja perluasan kuasa ‘Israel-Raya’. Adakah ini cubaan mengosongkan bumi Palestin dari Rakyat?
Jika Israel berjaya mengeluarkan rakyat Palestin dari tanah air mereka, tidak mustahil ini akan berlaku di Negara-negara Arab sekitarnya.
Sekali lagi ditegaskan, walaupun Perdana Menteri dan kerajaan menganggap ini adalah isu kemanusiaan, tetapi jangan sampai kemanusiaan itu menyebabkan tanah sesebuah negara tergadai.
AHMAD NAWFAL DATO’ MAHFODZ
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 6/11/2023











