RM45,000 dikumpul PAS Kawasan Jasin untuk Gaza

Ustaz Kamarudin Sidek ketika berucap dalam program 'Solidarity For Palestine' di Jasin, Melaka pada 5 Nov 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Haniff Istiqamah)
- Advertisement -

JASIN: PAS Kawasan Jasin berjaya mengumpulkan derma berjumlah RM45,000 untuk disumbangkan kepada penduduk Gaza bagi membantu membangunkan semula infrastruktur yang rosak diserang regim Zionis-Israel.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM40,000 darinya telah disampaikan terus kepada Presiden NGO Cinta Gaza, Nadir Al-Nuri, manakala RM5,000 lagi diserahkan kepada Badan Perhubungan PAS Melaka untuk diserahkan kepada Tabung Palestin PAS Pusat.

- Advertisement -

Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek semasa berucap dalam program ‘Solidarity For Palestine’ yang berlangsung di Dataran Kompleks PAS Jasin (KOMPAJ), di sini, malam tadi.

“Saya dah janji dengan Nadir, dia datang demi PAS Kawasan Jasin dengan cawangan-cawangan, kita nak bagi sesuatu pada beliau. Justeru, saya umumkan sekarang. 

“Untuk Gaza kita dah buat pungutan lebih awal. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada PAS cawangan-cawangan di seluruh Jasin dan ada individu yang beri,” ujarnya.

Malah, menurut beliau, sumbangan itu turut diterima daripada beberapa cawangan Umno di situ yang memberi kepercayaan kepada PAS untuk menyalurkan sumbangan tersebut kepada penduduk Gaza.

“Mudah-mudahan, selain daripada doa, kita dapat hantar (wang). Kerana apa tuan-tuan? Takbir, takbir juga, mereka balik ni besok masjid dah runtuh, nak buat balik; hospital dah kena bom, nak buat balik; sekolah universiti dah kena bom. 

“Yang terbaharu kampus Cawangan Al Azhar. Mereka nak bina balik (dengan wang), bukan nak hantar takbir sahaja, tapi (perlu) duit nak bina balik. Mudah-mudahan program kita ni berjaya,” kata Ustaz Kamarudin.

Program tersebut menampilkan Nadir Al Nuri sebagai penceramah utama di samping beberapa penceramah lagi, antaranya, Pengerusi Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Program turut dihangatkan dengan bacaan doa wehdah, qunut nazilah dan gimik perasmian oleh Alumni PASTI Melaka dan bacaan puisi daripada deklamator cilik, adik Fahim.

Turut hadir ialah beberapa orang rakyat Palestin dari Gaza yang merupakan aktivis NGO Cinta Gaza yang mengikuti Nadir pulang ke Malaysia sebelum ini namun tidak dapat masuk semula akibat perang yang berlaku. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -