Kerajaan ubah dasar, pelabur tarik pelaburan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mahu mengeksploitasi sumber asli yang negara miliki seperti Unsur Nadir Bumi (REE) yang bernilai lebih RM800 bilion dalam Belanjawan 2024.

Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, REE merupakan komponen terpenting bagi penghasilan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan semi konduktor berteknologi tinggi.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan industri itu yang mampu menjana pelaburan syarikat TBB (RE100) sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

“Dalam hal ini, kerajaan kena ada dasar dan strategi untuk kita meningkatkan pelaburan dalam negara, kita kena lihat secara keseluruhan, jangan guna short term gain (manfaat jangka pendek) semata-mata.

“Sepatutnya kerajaan lihat strategi mana yang boleh menguntungkan negara seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Dato’ Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika bangun menjelaskan kerajaan PN pernah merangka dasar khusus bagi pembangunan TBB negara.

Beliau berkata, kerajaan membuat dasar agar TBB yang dimiliki negara tidak boleh dieksport ke luar negara bagi membolehkan semua rakyat dapat merasai manfaat teknologi itu.

“Kita buat dasar TBB tidak boleh dieksport ke luar negara kerana ia boleh menjadi tarikan pelabur asing syarikat RE100, tapi kerajaan sekarang ini telah mengubah dasar ini.

“Kerajaan telah membenarkan TBB ini dieksport menyebabkan pelabur yang telah mengesahkan pelaburan mereka telah menarik balik pelaburan kerana keputusan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

- Advertisement -