KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menyelar sikap negara Barat yang hipokrit berhubung perjuangan Palestin.
Menurutnya, Barat melabelkan tindakan Ukraine mempertahankan wilayah negara itu daripada pencerobohan Rusia sebagai perjuangan demi kebebasan dan mempertahankan hak kedaulatan.
Namun, katanya perjuangan Palestin sejak puluhan tahun lalu untuk menegakkan kedaulatan dan hak kemanusiaan dicop sebagai pengganas.
“Pada hari ini, Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL akan menyokong usul dan pandangan yang diberikan tadi oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) walaupun kita berbeza dari segi politik.
“Ini kerana keutamaan maqasid kita, terutama sebagai umat Islam adalah mempertahankan Masjid Al Aqsa dan Palestin sebagai bumi anbiya melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya ketika membahaskan usul berhubung konflik Palestin di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, semua pihak perlu menyedari bahawa Israel adalah rejim apartheid, fasis dan penjajah zaman baharu.
Selain itu, katanya Malaysia perlu menolak dasar luar sesetengah negara yang semakin menerima normalisasi hubungan dengan Israel.
“Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mengambil pendekatan baharu, selain diplomasi melalui PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) iaitu mengetuai diplomasi agama dan budaya kerana kita tahu walaupun konflik di Palestin ialah isu wilayah, pada masa sama ada elemen keagamaan yang kuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2023




















