
KOTA BHARU: Banyak pembaharuan dilakukan oleh Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob sepanjang dua penggal menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar Kelantan ke-18.
Antaranya mengubah kefahaman rakyat terhadap dasar kerajaan negeri, Membangun Bersama Islam yang dirintis almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Meneruskan perjuangan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan memperkasakan lagi dasar Membangun Bersama Islam dengan melaksanakan cara dan pendekatan sedikit berbeza.
“Menerusi Merakyatkan Membangun Bersama Islam (MBI), dasar itu dapat dihayati rakyat di peringkat akar umbi tanpa mengira lapisan masyarakat,” kata Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.
Ustaz Ahmad Yakob yang juga Adun Pasir Pekan sebelum ini memberitahu terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar selepas Pilihan Raya Negeri kerana faktor kesihatan dan usia.
Dalam konteks pembangunan pula Huzaimy berkata, hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa dijaga bagi memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata kunjungan demi kunjungan dibuat antara kedua-dua belah pihak atas konsep federalisme menjadi titik tolak kepada pembangunan di Kelantan.
“Dalam aspek pembangunan pula, dengan pendekatan yang diamalkan Ustaz Ahmad menyebabkan Kelantan menerima banyak manfaat dalam pembangunan.
“Hubungan baik seperti inilah yang rakyat mahukan, kerana pembangunan hasil kerjasama dua-dua belah pihak menyebabkan rakyat juga akan merasai manfaat ini,” katanya.
Seorang penduduk dari Tanah Merah, Razaleigh Eusoff, 64, pula berkata, banyak pembaharuan dilakukan Ustaz Ahmad selama dua penggal menerajui kerajaan negeri.
“Penduduk tempatan dapat merasai kegigihan kerajaan negeri dalam isu bekalan air dan pemberian tanah kepada peneroka Ladang Kerilla,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/8/2023




















