
SIK: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik, Ahmad Sulaiman, beriltizam untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi penduduk tempatan.
Beliau berkata, kebanyakan penduduk di Belantik bekerja sendiri seperti penoreh getah, peniaga kecil dan nelayan darat.
“Oleh itu, peluang untuk memajukan diri melalui usaha lain untuk mencari pendapatan sampingan akan diketengahkan agar mereka dapat meningkatkan pendapatan harian.
“Selain itu untuk memastikan golongan sasaran tidak tercicir dengan apa jua tawaran, peluang dan sumbangan kerajaan negeri,” katanya memberitahu hasratnya apabila mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini
Ahmad juga akan meneruskan legasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penggal lalu, Almarhum Dato’ Mohd Isa Shafie kepada rakyat sebelum ini.
Mengulas perkembangan kempen, katanya antara aktiviti terkini yang dilakukan ialah membuat lawatan dari rumah ke rumah, sama ada ahli PAS dan Umno, mahu pun pengundi atas pagar.
Katanya, hampir keseluruhan 14 Unit Daerah Mengundi (UDM) di DUN Belantik dikunjunginya sendiri dan juga jentera pilihan raya.
“Saya berjumpa semua orang, termasuk penyokong Pakatan Harapan (PH). Saya bersalam dengan mereka. Ahli-ahli Umno lama juga saya jumpa. Berbual dengan mereka,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa isterinya membantu menemui masyarakat bersama jentera Halwa ke rumah-rumah sasaran.
Mengenai pihak lawan, Ahmad berkata, calon PH dari Amanah kurang memiliki kekuatan jentera dan ahli.
“Saya juga ada dengar khabar angin terdapat ahli Umno yang mengambil sikap tidak mahu keluar mengundi 12 Ogos ini, dan saya akan berusaha berjumpa kelompok ini untuk memohon sokongan kepada PN,” katanya.
Pada masa sama, beliau berpuas hati dengan kerjasama semua jentera pilihan raya, sama ada di peringkat DUN, UDM dan muslimat serta penglibatan anak-anak muda terutama di UDM.
“Aura Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadikan anak-anak muda ini sanggup bersama-sama bekerja untuk kemenangan PN,” maklumnya lagi.
DUN Belantik menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Ahmad dan calon PH dari Amanah, Mazli Saipi. Pada PRU lalu, calon PAS Dato’ Mohd Isa Shafie menang dengan majoriti 5,218 undi mengalahkan calon PKR dan BN. – HARAKAHDAILY 10/8/2023




















