Dakwaan Terengganu ‘juarai’ pengangguran tidak berasas

- Advertisement -

MENJELANG Pilihan Raya Negeri yang berbaki beberapa hari sahaja lagi, antara khabar angin yang didapati berlegar-legar bagi memperlekehkan kepimpinan Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri di Terengganu adalah kononnya negeri ini adalah ‘juara’ pengangguran. Bagi menjawab desas-desus ini, sebentar tadi YAB Menteri Besar telah menjelaskan situasi pengangguran yang sebenarnya bertambah baik di Terengganu. 

Kerajaan Negeri Terengganu pada hakikatnya telah berjaya mengatasi isu pengangguran negeri ini apabila lebih 20,000 peluang pekerjaan telah disediakan termasuk melalui 51 projek pelaburan sejak 2018. Hal ini sekali gus membuktikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Negeri Terengganu ‘juarai’ pengangguran adalah dangkal sama sekali. Sebagai perbandingan dengan pentadbiran BN sebelum ini, sejak 2013 kadar pengangguran negeri sentiasa melebihi paras nasional malah ketika PAS mengambil alih pada pertengahan 2018, jurang negeri dengan nasional adalah sebanyak 1.5 mata pada tahun tersebut.

Jika diteliti, pada tahun kedua pemerintahan PAS jurang ini berjaya dikurangkan menjadi hanya 0.2 mata pada 2019 (nasional: 3.3; Terengganu: 3.5). Disebabkan pandemik COVID-19 pada 2020, paras nasional dan negeri kedua-duanya naik mendadak; namun demikian, kadar Terengganu tetap berjaya menunjukkan prestasi lebih baik daripada kadar nasional iaitu mencatatkan perbezaan sebanyak -0.4 mata bawah paras nasional (nasional: 4.5; Terengganu: 4.1). Sebagaimana yang dijelaskan Dr. Samsuri sebentar tadi, pada tahun lepas angka ini sekali lagi berjaya dikekalkan bawah paras nasional iaitu 3.6 di Terengganu berbanding 3.9 di seluruh negara.

Antara cabaran utama yang dihadapi oleh semua negeri ketika COVID-19 bermaharajalela adalah masalah kehilangan pekerjaan (‘loss of employment’). Pun begitu, antara Januari hingga Julai 2020, Terengganu mencatatkan kehilangan pekerjaan antara yang terendah dalam negara. Ketika negeri-negeri lain merekodkan angka yang mencecah ribuan kehilangan pekerjaan, Terengganu hanya mencatatkan seramai 748 orang. Keadaan ini menunjukkan sektor pekerjaan di Terengganu mempunyai ketahanan yang lebih tinggi menghadapi situasi paling genting seperti pandemik, seterusnya menjamin rakyat negeri ini untuk terus mampu mempunyai sumber pendapatan pada saat-saat kritikal.

Jika perbandingan dengan kadar nasional dan pemerhatian prestasi semasa pandemik masih belum memadai, lihat pula kedudukan Terengganu berbanding negeri-negeri lain dalam masa beberapa tahun belakangan ini. PAS mengambil alih dalam keadaan kedudukan negeri adalah pada tempat ke-3 tertinggi kadar pengangguran. Pada tahun 2021, kedudukan ini jatuh sehingga ke tempat ke-10, menjadikan Terengganu antara negeri paling rendah kadar pengangguran. 

Kejayaan-kejayaan ini adalah hasil daripada pelaksanaan beberapa langkah proaktif oleh kerajaan negeri, antaranya penubuhan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) sebagai pengumpul data memandangkan sebelum ini tiada data khusus boleh digunakan kerajaan negeri bagi menangani isu tersebut. Di samping itu, kerjasama dengan PERKESO sebagai rakan strategik turut dijalin bagi memperkasakan pangkalan data MYFutureJobs malah turut mengadakan Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat, Jamin Kerja atau Gerbang Kerjaya bagi memastikan maklumat peluang pekerjaan sampai kepada golongan sasar.

Kesemua ini membuktikan bahawa fokus kerajaan negeri menangani pengangguran turut diiringi inisiatif-inisiatif realistik dan praktikal yang akhirnya mengeluarkan hasil sekali gus menyangkal dakwaan tidak berasas kononnya Terengganu menjuarai pengangguran di Malaysia.

“Malaysia Sejahtera”

YB TUAN HAJI WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -