
SHAH ALAM: Gelombang sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) menyebabkan pelbagai taktik jijik digunakan untuk memburuk-burukkan PN.
Ini termasuk penyebaran gambar kain rentang berbaur fitnah dipercayai untuk memberikan imej buruk kepada PN menjelang hari pengundian 12 Ogos ini.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, tindakan tersebut menggambarkan musuh politik dalam keadaan terdesak dan sanggup melakukan pelbagai cara untuk menyekat gelombang sokongan terhadap PN.
Katanya, PN mahu rakyat Selangor mengetahui bahawa apabila musuh tidak boleh menghadapi PN secara baik, mereka menggunakan taktik yang jahat seperti itu.
“Ini bukan kerja kami, ini kerja orang yang tidak bertanggungjawab dan amat tidak wajar. Dalam pentas demokrasi, sepatutnya kita lawan secara demokratik. Tidak sepatutnya keluar perkara jahat seperti ini dan kita akan buat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Perkara ini jelas dibuat oleh pihak musuh yang ingin mengadu domba dan memecahbelahkan masyarakat,” Katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sidang media khas PN Selangor berhubung status kempen pilihan raya PN dihadiri oleh setiausaha parti komponen PN Selangor. Selain Roslan Shahir, Bersatu diwakili oleh Datuk Azman Yaakob, manakala Chong Hak Beang mewakili Gerakan.

Sementara itu, Roslan Shahir berharap hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan secara aman dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan secara adil terhadap mereka yang mengadu domba dan memecah belahkan masyarakat.
“Kita harapkan pada hari-hari terakhir ini berjalan dengan baik dan lancar. Jangan hanya jaga ceramah atau kempen PN sahaja.
“Perlu jaga perkara-perkara yang lebih berunsur mengadu domba dan berniat memecah belahkan masyarakat. Kita harap polis dapat mengambil tindakan segera terhadap kerja yang jahat dan tidak demokratik ini.” Katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023




















