
KUALA TERENGGANU: 10 tawaran PAS untuk rakyat Terengganu dalam manifesto pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berpijak di bumi nyata.
Setiausaha PAS negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, 10 tawaran itu berdasarkan pengalaman memerintah negeri ini pada sesi lepas.
Dalam pada itu, katanya 20 manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu terus berjalan.
“10 tawaran ini adalah sememangnya tawaran yang kata orang Terengganu jijak hasil daripada lima tahun pengalaman kita memerintah,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Jelasnya, PAS negeri dalam merangka 10 tawaran manifesto untuk rakyat Terengganu itu berdasarkan pengalaman memerintah selama lima tahun.
“Kita tengok apakah keperluan-keperluan yang mendesak yang sebenarnya, perkara itulah yang menjadi isu utama di dalam pemerintahan kita ketika mana kita menyantuni rakyat,” ujarnya lagi.
Menurutnya, sepanjang tempoh lima tahun memerintah, PAS negeri mendapati banyak isu ditemui yang melibatkan kepentingan rakyat.
Beliau mengambil contoh tawaran yang kelima dalam manifesto kali ini iaitu menaja Caruman Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk suri rumah.
Katanya, suri rumah yang tidak bekerja akan berhadapan dengan pelbagai risiko seperti perceraian, kematian suami, kemalangan yang berlaku kepada suami atau ketua keluarga.
Ini, ujar beliau menyebabkan kehidupan suri rumah itu kemungkinan akan terjejas dan sebagainya.
“Maka kerana itu, bila kita melihat perkara ini maka kita merasakan perlu ada satu skim keselamatan sosial yang kita tumpukan khas kepada suri rumah.
“Ertinya walaupun mereka tidak bekerja apa-apa yang mungkin berlaku kepada mereka paling kurang apabila kerajaan telah menaja caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk suri rumah ini, maka secara automatik kebajikan suri rumah ini akan terjamin.
“Apa-apa berlaku yang berlaku dalam kehidupan mereka, keluarga akan terjamin ada satu bantuan yang akan diberikan oleh Perkeso yang carumannya ditaja atau dicarum oleh pihak kerajaan,” jelasnya.

Begitu juga, kata beliau tawaran keenam iaitu tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan.
Beliau menjelaskan, berdasarkan pengalaman memerintah selama lima tahun pada penggal lalu, ada isu yang kerap juga berlaku kepada petani dan penternak.
Sebagai contoh, Terengganu adalah negeri yang berada di tepi Laut China Selatan dan terdedah kepada bencana alam, ribut, banjir dan sebagainya.
Katanya, ada pengalaman penggal lepas ialah pernah dua kali berlaku banjir besar yang luar biasa dalam setahun dan ribut.
Tambahnya, apabila berlaku banjir besar, ribut dan sebagainya antara yang terjejas ialah golongan petani dan penternak termasuk nelayan.
Beliau berkata, apabila berlaku banjir besar maka petani banyak terjejas di mana kebun dan tanaman mereka musnah.
“Jadi kepada siapa mereka nak mengadu, sudah tentulah kepada kerajaan.
“Kerajaan juga sebelum daripada ini mempunyai satu dana yang tidaklah sebesar dana yang kita cadangkan atau tawarkan pada pilihan raya in,” ujarnya yang mempertahankan kerusi Dun Wakaf Mempelam pada PRN kali ini.
Begitu juga, katanya penternak ikan dalam sangkar turutr terjejas apabila berlaku banjir sekali atau dua kali setahun.
Contohnya, kata beliau apabila berlaku banjir besar, sangkar mereka rosak dan hanyut termasuk ikan yang ada dalam sangkar juga mati.
“Jadi mereka memerlukan bantuan, sokongan dan juga bantuan emergency untuk mereka memulakan semula pekerjaan penternak ikan dalam sangkar dengan buat sangkarnya, cari benih baru dan sebagainya,” katanya.
Oleh kerana itu, jelasnya kerajaan menawarkan tawaran yang keenam iaitu tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan sebanyak RM10 juta setiap tahun.
“Ini adalah satu jumlah yang besar dan insya-Allah akan mencukupi sebab sebelum ini tidak sampai pun RM10 juta.
“Inilah apa yang sering berlaku kepada rakyat kita daripada sudut kebajikan, daripada semua aspek segmen kehidupan termasuklah kepada belia,” katanya.

Bagi golongan itu, katanya kerajaan negeri menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal secara qardul hasan tanpa riba kepada mereka yang memulakan kerjaya yang memerlukan motosikal sebagai kenderaan utama ke tempat kerja dan sebagainya.
“Maka kita sediakan pinjaman pembelian motosikal secara qardul hasan tanpa riba, dan kos berjumlah RM4,000 cukup untuk beli sebuah motor yang sederhana,” katanya lagi.
10 tawaran itu sebagaimana berikut:
Tawaran 1: Menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal secara qardul hasan (tanpa riba) untuk kerjaya anak muda maksimum RM4,000.
Tawaran 2: Menyediakan khairat kematian sebanyak RM500 untuk setiap kematian
Tawaran 3: Menyediakan Tabung Geran Usahawan Belia sebanyak RM5 juta setahun kepada belia yang baru memulakan perniagaan
Tawaran 4: Menyiapkan jalan raya pantai Terengganu kepada dua lorong (dual carriageway) dari Kemaman ke Besut.
Tawaran 5: Menaja Caruman Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk suri rumah.
Tawaran 6: Tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan sebanyak RM10 juta setahun.
Tawaran 7: Mewujudkan pusat tafaqquh fiddin (pusat pemahaman agama) di setiap daerah.
Tawaran 8: Menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan negara dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Tawaran 9: Membina Masjid Pintar (smart township mosque) yang berfungsi sebagai pusat sehenti (one stop centre) lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan dan rekreasi, pendidikan, sosial dan komuniti, serta kesihatan dan kebajikan.
Tawaran 10: Meningkatkan peluang pekerjaan menerusi pemberian insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang ingin membuka cawangan perniagaan di Terengganu. – HARAKAHDAILY 9/8/2023




















