
MARANG: Perjalanan kempen PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini di Terengganu berjalan lancar tanpa provokasi.
Pengarah Pilihan raya PAS negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata demikian selepas memantau perkembangan kempen seluruh negeri.
“Alhamdulillah kempen kita sangat seronoklah bila saya sudah pusing satu negeri berjalan dengan baik.
“Kempen ini semakin dekat dengan hari mengundi nak kata semakin agresif pun tidak, steady sahaja sebab kita ada jadual kempen.
“Sebahagian besar calon-calon kami mereka bermula daripada solat subuh lagi di masjid, pada waktu malam kami adakan ceramah dan setakat ini kami tidak ada masalah lagi dengan pihak polis, mereka mengizinkan lah,” katanya kepada pemberita sewaktu meninjau pusat mengundi awal di Kem Padang Midin, hari ini.
Dari segi suasana, katanya, markas PN sangat ceria di samping aktiviti kempen rumah ke rumah.
“Sebenarnya tidak ada masalah, yang mengatakan kempen sebegini merupakan satu kesalahan, sebenarnya kita dibenarkan untuk berkempen,” katanya yang mempertahankan kerusi Dun Alur Limbat pada PRN ini.
Menurutnya, masa yang diberikan selama 14 hari bermula daripada penamaan calon sehingga hari mengundi sebenarnya itulah yang dibenarkan parti yang bertanding untuk berkempen.
Tambahnya, jentera PAS dan PN berkempen dalam suasana yang tenang tetapi tidak dibenarkan sebarang pemberian.
“Jadi kita naik rumah kita nak bagi goodies atau lain-lain tidak dibenarkanlah, jika tidak dianggap rasuah.
“Alhamdulillah petugas-petugas kempen kami telah memahami perkara ini.
“Kita naik rumah kita rayu undi, kita bawa risalah biodata calon dan risalah kitalah yang kita keluarkan sendiri yang tidak bersifat provokasi, alhamdulillah setakat ini pengundi secara zahirnya mereka boleh terimalah,” katanya.
Ariffin berdepan dengan calon BN, Mohd Yuseri Isa di Dun Alur Limbat yang mempunyai 36,087 pengundi.
Beliau memenangi Dun Alur Limbat pada PRU13 dengan majoriti 645 undi menewaskan calon BN dan Bebas.
Pada PRU14 lalu, beliau yang memperolehi 13,330 undi menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 4,194 undi. – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















