
REMBAU: Dua orang pemimpin Umno peringkat cawangan di Bahagian Kuala Pilah yang mengumumkan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL baru-baru ini sebenarnya mewakili 10 cawangan Umno di bahagian itu.
Menurut Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, ini adalah kerana mereka yang lain tidak mahu mendedahkan identiti mereka secara terbuka.
“Sebenarnya yang malam itu, dua orang (pemimpin Umno Cawangan) itu mewakili hampir 10 cawangan di Kuala Pilah tu. Walaupun yang lain tidak berani menonjolkan diri tetapi sokongan kita dapat.
“Dan mereka menyatakan bahawa sudah sampai masanya disebabkan oleh faktor-faktor dalaman Umno itu sendiri yang menunjukkan rasa kecewa di kalangan ahli-ahli Umno,” ujarnya, di sini.
Pada Sabtu lalu, dua pemimpin Umno Cawangan dalam Bahagian Kuala Pilah iaitu Naib Ketua Cawangan Umno Kampung Cheriau, Mahadi Ishak dan Naib Ketua Pemuda Cawangan Kampung Parit Syed Ahmad Arafat telah mengumumkan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL dalam satu ceramah kempen pilihan raya di N18 DUN Pilah.
Tambah Rafiei, setakat ini mereka tidak keluar Umno, tetapi hanya menyatakan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Dan saya tegaskan dah jelaskan pada mereka kita tidak ada memaksa mereka untuk keluar parti dan menyertai PAS. Yang penting ialah sokongan. Dan mereka telah menyatakan sokongannya kepada saya itu adalah satu petanda yang cukup baik.
“Mudah-mudahan selepas ini kalau mereka tertarik dengan dasar dan prinsip perjuangan kita insya-Allah mereka akan menyertai PERIKATAN NASIONAL,” ujar beliau.
Kata Rafiei, tindakan mereka beralih sokongan dari Umno kepada PERIKATAN NASIONAL kerana mereka rasa sangat kecewa dengan tindakan para pimpinan mereka.
“Ini menyebabkan mereka rasa sudah sampai masanya untuk mereka yang menyatakannya secara terbuka. Ini suatu protes. Dan mungkin cara yang lebih berkesan untuk mereka ialah dengan menyokong PERIKATAN NASIONAL.
“Sebab sekarang ini kalau dilihat ialah dari segi parti yang benar-benar boleh memperjuangkan, menyelamatkan mereka, yang jujur, adalah parti PERIKATAN NASIONAL, khususnya PAS,” ujarnya.
Jelas beliau, setakat ini tidak ada lagi bukti-bukti menunjukkan pemimpin-pemimpin PAS mengkhianati harapan yang diberikan oleh ahli-ahli Umno ini.
“Kemarahan mereka terhadap tindakan pemimpin mereka bersekongkol dengan DAP adalah antara sebabnya. Yang lain mungkin kerana sikap pimpinan khususnya dalam PH, juga dalam pimpinan Umno.
“Mereka dapat melihat bahawa pimpinan dalam Umno sekarang ini nampak gaya melakukan apa sahaja demi hendak mengekalkan kuasa, termasuk mengkhianati, termasuk bersikap tidak jujur kepada rakyat demi menjaga kepentingan mereka,” katanya.
Tegasnya, apa yang berlaku ini yang menyebabkan ahli-ahli Umno malah PKR sendiri merasakan sudah sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti masing-masing. – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















