
KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu akan meneruskan 20 tawaran dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Setiausahanya, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pada PRN kali ini PAS hanya menawarkan 10 perkara sahaja berbanding PRU14 lalu.
Justeru, ujarnya mungkin ada yang bertanya kenapa 10 sahaja tawaran kali ini.
“Pada PRU14, kita telah mengemukakan 20 tawaran manifesto, alhamdulillah kesemua manifesto yang telah kita tawarkan kepada rakyat telah mendapat di hati dan kesannya, alhamdulillah kita menang dalam PRU14 yang lalu,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Jelasnya, sebaik sahaja kerajaan negeri dibentuk, Menteri Besar telah mengarahkan semua 10 orang Exco terus bekerja bagi melaksanakan atau merealisasikan kesemua tawaran manifesto itu.
“Dan alhamdulillah dalam tempoh lima tahun kita telahpun berjaya melaksanakan semua tawaran 20 manifesto walaupun ada di antara manifesto tersebut belum sempurna tetapi telah pun dimulakan.
“Dan untuk PRU15 Dun ini kita datang dengan 10 tawaran manifesto. Mungkin ada yang bertanya kenapa 10 sahaja, kenapa tidak 20,” ujarnya yang mempertahankan kerusi Dun Wakaf Mempelam pada PRN kali ini.
Tambahnya, mungkin ada juga yang bertanya bagaimana pula dengan 20 manifesto yang dilaksanakan itu.
“Jadi jawapannya ialah kali ini kita mari dengan 10 tawaran manifesto. Walaupun 10 tawaran itu nampak 10 itu ialah apa yang kita katakan sebagai ibu atau tajuk utama yang ada di dalam setiap segmen namun, pecahannya masih lagi banyak,” ujarnya lagi.
Beliau memberi contoh tawaran yang ketujuh pada kali ini iaitu mewujudkan pusat tafaquh fiddin di setiap daerah.
“Itu tawaran besarnya, tawaran kecil atau yang mengikuti atau mengiringi tawaran ini sudah tentu banyak lagi yang bermula di peringkat kampung, Dun dan daerah. Jadi banyak pecahan dari tawaran 10 itu,” katanya

Keduanya, jelas beliau, 10 tawaran itu adalah disebabkan banyak perkara asas yang menjadi keutamaan kepada rakyat telahpun dipenuhi dalam 20 tawaran yang lalu.
Tambahnya, setelah dilaksanakan 20 tawaran tersebut, banyak perkara yang menjadi keutamaan dan keperluan rakyat telah kerajaan lakukan tanpa menunggu pilihan raya yang akan datang untuk diberikan tawaran yang baharu.
“Apa yang boleh kita laksanakan kita laksanakan tanpa menunggu kita menjadi kerajaan,” katanya lagi.
Justeru, kata beliau 10 tawaran yang dikemukakan itu ialah apa yang belum dapat kerajaan negeri laksanakan dalam lima tahun awal pemerintahan.
“Maka kita bawa 10 tawaran ini untuk kita laksanakan pada penggal kedua pemerintahan selepas PRU Dun ke-15 ini. Itulah yang menyebabkan kita datang dengan 10 tawaran,” jelasnya lagi.
Beliau juga berkata, walaupun dengan 10 tawaran, apabila dapat menyambung semula pemerintahan pada PRU Dun ke-15 ini, semua 20 tawaran dahulu masih dilaksanakan seperti biasa selagi mana ia belum selesai.
“Contohnya pemberian Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera yang telah pun masuk siri yang ketiga.
“Insya-Allah akan diteruskan sebab sentiasa akan ada belia atau remaja yang mencapai umur 16 tahun yang terdiri daripada kalangan B40 yang memerlukan lesen motosikal ini, maka kerajaan akan meneruskan program ini sampai bila-bila, insya Allah,” ujarnya.
Begitu juga, katanya dengan pemberian i-Belia, Kad Sejahtera, Dana Putra, i-Mahasiswa, i-Perantau dan bantuan-bantuan lain yang telah dilaksanakan pada sesi yang lepas akan diteruskan pada sesi yang akan datang. – HARAKAHDAILY 7/8/2023





















