
KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) yakin mampu mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) parti kompenan PN, Bersatu berjaya merampas Parlimen Jeli yang sebelum ini dimenangi Umno.
Menurutnya, PRN yang membabitkan enam negeri akan memberi kelebihan kepada PN apabila ahli Umno tidak sanggup melihat parti itu menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Potensi kali ini untuk dapat lebih undi itu ada kerana ada kumpulan tidak puas hati ditambah pula sokongan ahli PAS memang solid,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan dari Pusat Media Perikatan Nasional (PN) Kelantan di sini hari ini.
Kamarudin yang juga Pengerusi Bersatu Kelantan berkata, pihaknya juga menyasarkan lebih 100 undi daripada penduduk Orang Asli dalam Dun Ayer Lanas memilih PN pada pilihan raya 12 Ogos ini.
Beliau berkata, di Dun Ayer Lanas terdapat kira-kira 400 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Raui dan menjadi sokongan tetap kepada Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun kata beliau sekarang sokongan kaum itu kepada PAS semakin meningkat. – HARAKAHDAILY 5/8/2023




















